Penyokong gusar benteng Sang Kenari rapuh

Pemain KDA FC membina benteng bagi menghalang sepakan percuma PJ City FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada Selasa. Keputusan KDA FC terikat 3-3 dengan PJ City FC. - Foto KDA FC
Pemain KDA FC membina benteng bagi menghalang sepakan percuma PJ City FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada Selasa. Keputusan KDA FC terikat 3-3 dengan PJ City FC. - Foto KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC perlu merombak barisan pertahanan selepas muncul pasukan paling banyak bolos dengan 17 jaringan selepas lapan perlawanan Liga Super 2022 setakat ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara, Safarizal Mohd Sobri berkata, prestasi Sang Kenari yang serba tidak menjadi jelas mengusarkan penyokong Kedah kerana sebelum ini KDA FC disebut-sebut antara pasukan pilihan yang mampu memberi cabaran.

Menurutnya, jumlah jaringan bolos yang besar memperlihatkan kerapuhan benteng pasukan dan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak perlu melakukan sesuatu sebelum saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bermula pada Jun ini.

"Penyokong kecewa dan terkejut dengan prestasi pasukan pada awal musim kerana KDA FC dilihat antara pencabar terkuat liga super musim ini.

"Paling membimbangkan 17 gol bolos dalam lapan aksi liga super dan ini adalah satu perkembangan yang tidak sihat buat pasukan yang hebat seperti KDA FC.

"Kita mampu menjaringkan gol dan memberikan saingan namun selepas kita berjaya mendapatkan gol, kita juga dibolosi. Setiap perlawanan kita dibolosi dan perlawanan paling mengecewakan penyokong sewaktu menentang Selangor FC dan Sabah FC," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas aksi KDA FC yang terikat 3-3 di Kelana Jaya pada Selasa selepas pasukan lawan berjaya bangkit menyamakan kedudukan sekaligus menghampakan Sang Kenari untuk meraih tiga mata.

Mengulas lanjut, Safarizal berkata, rombakan perlu dilakukan segera dan KDA FC wajar mendapatkan pemain baharu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2022, penghujung Mei ini.

Menurutnya, faktor stamina semua pemain juga perlu diberikan perhatian oleh pasukan kejurulatihan kerana saingan di pentas Asia lebih mencabar dan sengit.

Sang Kenari seterusnya akan menerima kunjungan Negeri Sembilan FC pada 17 Mei di Stadium Darul Aman bagi aksi kesembilan Liga Super.