Pindaan AKAS 1974 secara berfasa sedang dilaksana

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyatakan sedang melaksanakan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 secara berfasa.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, fasa satu sedang menunggu semakan serta kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara.

“Fasa satu melibatkan elemen kompaun, penalti dan standard supaya tindakan lebih tegas boleh diambil terhadap penjenayah alam sekitar,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim dilaporkan pernah menyatakan bahawa kementeriannya memberi komitmen meminda akta untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap pihak yang disabitkan kesalahan mencemarkan alam sekitar dan sumber air.

Dalam pada itu, tambah Tuan Ibrahim, bagi fasa dua, ia melibatkan pemerkasaan akta secara komprehensif.

“Fasa dua melibatkan pemerkasaan akta secara komprehensif, masih diperhalusi bersama pakar dan pemegang taruh yang lain,” jelasnya.