Syarikat penerbangan diarah segera selesai isu teknikal

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Syarikat penerbangan yang mengalami isu kelewatan sebelum ini telah diarahkan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) untuk segera menyelesaikan masalah teknikal dialami penumpang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kebanyakan aduan dibuat adalah berkait dengan trafik penumpang yang lebih tinggi daripada biasa di musim perayaan sehinggakan syarikat penerbangan terpaksa menggunakan sepenuhnya pesawat untuk memenuhi permintaan.

"Pesawat yang menghadapi masalah teknikal juga telah 'direhatkan' daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan yang lebih teliti," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, MOT dan agensi di bawahnya akan terus memantau setiap perkhidmatan penerbangan untuk memastikan prosedur penyelenggaraan dan isu teknikal dipatuhi tanpa kompromi.

"Pihak berkuasa juga telah menegur pihak yang terlibat untuk memastikan pematuhan peraturan teknikal, ekonomi dan keselamatan serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengendali yang gagal berbuat demikian," katanya.

Tegasnya, adalah penting bagi syarikat penerbangan untuk menambah baik saluran komunikasi di antara penumpang dan pelanggan bagi memastikan mereka menerima maklumat berhubung status penerbangan mereka.

"Setakat 10 Mei, semua aduan berkaitan penjadualan semula dan kelewatan penerbangan telah dipulihkan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai diminta untuk kekal tenang dan terus memberi maklum balas terperinci kepada syarikat penerbangan bagi menyelesaikan sebarang isu operasi yang berlaku.

"MOT dan agensi di bawahnya akan terus memantau setiap perkhidmatan penerbangan untuk memastikan prosedur penyelenggaraan dan isu teknikal dipatuhi tanpa kompromi," katanya.