Harimau Muda kena waspada muslihat Laos

Pemain Harimau Muda giat menjalani latihan sebagai persiapan berdepan Laos dalam perlawanan kedua Kumpulan B Sukan SEA Hanoi 2021 pada Rabu ini. - Foto Football Association of Malaysia
Pemain Harimau Muda giat menjalani latihan sebagai persiapan berdepan Laos dalam perlawanan kedua Kumpulan B Sukan SEA Hanoi 2021 pada Rabu ini. - Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara dinasihatkan supaya tidak terbuai dengan kejayaan menewaskan Thailand dalam aksi Kumpulan B Sukan SEA Hanoi 2021, sebaliknya perlu memberi sepenuh tumpuan menjelang perlawanan kedua menentang Laos pada Rabu.

Gesaan itu disuarakan jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah yang bimbang keasyikan anak buah Brad Maloney meraikan kemenangan ke atas skuad muda Gajah Perang itu akan menyebabkan mereka berpotensi keciciran mata ketika menentang skuad bimbingan Michael Weiss.

Malah jelasnya lagi, Laos yang hadir ke temasya kali ini bukan lagi sebuah pasukan kerdil yang boleh dipandang rendah selepas melakukan beberapa kejutan dengan terbaharu mengikat satu lagi pasukan pilihan, Singapura 2-2 dalam aksi kumpulan pada Sabtu.

“Ini bukan masa yang terbaik untuk kita raikan kemenangan ke atas Thailand kerana kita masih ada baki lagi tiga perlawanan untuk kita hadapi bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

“Sebab saya risau sekiranya para pemain terlalu meraikan kemenangan ke atas Thailand, ia mungkin akan beri kesan ketika berdepan Laos nanti. Kita perlu ingat kita pernah gagal untuk tewaskan mereka dalam dua perlawanan sebelum ini.

“Bagi saya tidak mustahil sebenarnya untuk Malaysia tewaskan Laos. Apa yang penting mereka perlu fokus dan ikut sahaja arahan yang akan diberikan jurulatih pada perlawanan tersebut,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Untuk rekod, dalam pertemuan menentang Laos sebelum ini, Harimau Muda gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam dua pertemuan menentang Laos apabila tewas dua aksi peringkat kumpulan kejuaraan AFF B-23 di Kemboja pada Februari lalu.

Dalam pada itu, Azraai turut menuntut jentera penyudah Harimau Muda supaya lebih tajam selepas dilihat gagal menyudahkan beberapa peluang ketika menentang Thailand.

Ujar Azraai, sekiranya bahagian serangan berjaya menterjemahkan setiap tindakan penyudah dalam setiap perlawanan, ia akan mencerahkan lagi peluang skuad muda negara tersebut mara ke separuh akhir.

“Saya lihat pasukan muda ini bermain dengan baik ketika tewaskan Thailand baru-baru ini.

“Mereka berjaya mencipta beberapa peluang, namun gagal disudahkan sebaiknya.

“Jadi, saya harap selepas ini barisan pemain dapat memperbaiki lagi prestasi mereka terutama apabila berada di hadapan pintu gol. Kalau mereka dapat atasi masalah itu, saya rasa kita berpeluang cerah untuk lepas peringkat kumpulan,” katanya.