Tiada lagi buih putih di Sungai Skudai, kualiti air pada paras normal

Raven Kumar (kiri) ketika melakukan pemantauan di Sungai Skudai pada Isnin.
Raven Kumar (kiri) ketika melakukan pemantauan di Sungai Skudai pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pencemaran Sungai Skudai akibat kewujudan buih putih yang dikesan sejak beberapa hari lalu tidak menjejaskan kualiti air di Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail yang dilaporkan berada pada paras yang normal.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar berkata, pihaknya juga telah melakukan pemantauan di sekitar kawasan sungai yang didakwa mengalami pencemaran berkenaan.

“Susulan aduan pencemaran sungai yang berbuih berwarna putih itu, saya selaku Exco bertanggungjawab telah turun sendiri bersama pasukan penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor untuk menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan yang dilakukan mendapati tiada lagi tompokan buih yang dikesan di lokasi berkenaan iaitu di kawasan Sungai Skudai berhampiran jambatan Taman Impian Emas dekat sini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selain itu, beliau berkata, persampelan kualiti air sungai di LRA Sultan Ismail turut mendapati tahap kualiti air adalah normal dengan bacaan Oksigen Terlarut (DO) 4.95 dan pH adalah 7.

Sebelum ini, satu rakaman video yang memaparkan permukaan sungai berkenaan dipenuhi buih putih mulai tular di laman sosial Facebook sejak Ahad.

Sementara itu, Raven Kumar berkata, kerajaan negeri menerusi JAS Johor akan terus menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca pencemaran yang berlaku.

“Usaha itu melibatkan pemantauan terutamanya di premis-premis yang beroperasi di sepanjang Sungai Skudai yang dilihat berpotensi menyebabkan pencemaran sungai berbuih berlaku,” katanya.

Artikel Berkaitan: