Remaja hilang selepas ke masjid

Muhammad Al Muizz Al Mawardi
Muhammad Al Muizz Al Mawardi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang remaja dari Blok Purnama, Tasik Height Apartment di Bandar Tasik Selatan di sini, dilaporkan hilang sejak awal pagi pada Ahad.

Muhammad Al Muizz Al Mawardi, 16, tidak pulang selepas ke Masjid Al Muqarrabin untuk menunaikan solat Subuh pada jam 5.45 pagi.

Menurut ibunya, Nuraliana Alias, 38, sebelum ini, anaknya tidak pernah tidak pulang ke rumah, malah jarak masjid itu hanya kira-kira 500 meter dari rumah mereka.

"Anak ada memaklumkan kepada kami hendak keluar berhari raya bersama kawan-kawannya selepas solat Subuh tetapi sehingga sekarang masih belum pulang.

"Petang hari yang sama, kami sepatutnya menghantarnya pulang semula ke asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya.

"Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Sungai Besi. Sebelum ini, dia tidak pernah hilang malah dia juga bukan remaja yang suka bersosial," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Justeru dia merayu kepada sesiapa yang menemui anak lelakinya itu agar menghubungi di talian 013-2484367 atau 013-2306168.

"Kami sekeluarga tak tahu di mana dia berada dan bimbang keadaannya. Tolonglah bantu kami dan jasa semua pihak amat dihargai," katanya lagi.