Sungai Ngulang tercemar, CAP gesa JAS ambil tindakan tegas

Banyak ikan mati dan terapung di permukaan Sungai Ngulang yang turut bertukar warna kehitaman. - Foto ihsan Ibnul Khattab
Banyak ikan mati dan terapung di permukaan Sungai Ngulang yang turut bertukar warna kehitaman. - Foto ihsan Ibnul Khattab
A
A
A

KANGAR - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis perlu mengambil tindakan tegas ke atas kilang yang dikesan menyebabkan pencemaran di Sungai Ngulang, Padang Besar sehingga menyaksikan ratusan ikan di dalam sungai itu mati.

Presiden Persatuan Pengguna-Penguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kadeer berkata, penduduk mendakwa masalah pencemaran itu berpunca daripada pelepasan sisa loji pengolahan efluen dari kilang di Bukit Keteri.

Menurutnya, jarak kilang berkenaan hanya sekitar lima kilometer dari sungai yang tercemar.

"Sungai Ngulang bukan saja menjadi tempat orang ramai memancing pelbagai jenis ikan air tawar tetapi juga untuk mandi-manda dan mengairi sawah di negeri itu.

"CAP kesal walaupun kejadian yang menyebabkan air sungai tersebut bertukar warna menjadi hitam pernah dilaporkan berlaku sebelum ini dan air yang tercemar telah diambil untuk diuji namun masalah ini masih juga berulang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) perlu menyiasat secara menyeluruh punca masalah ini dan mendedahkan kepada umum tindakan undang-undang yang diambil ke atas pihak yang didapati terlibat mencemarkan sungai terbabit.

Menurutnya, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dikuatkuasakan dengan tegas dan hukuman setimpal wajar dikenakan ke atas pihak terbabit.

"CAP percaya dan bimbang jika pencemaran itu berterusan Sungai Ngulang akan mengalami pencemaran yang lebih serius lagi pada masa akan datang dan menjejaskan pembiakan pelbagai jenis ikan di dalamnya termasuk aktiviti persawahan oleh para petani di sini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, sebuah portal media melaporkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai Ngulang terkejut melihat banyak ikan mati dan terapung di permukaan sungai berkenaan yang turut bertukar warna kehitaman.