Jenazah bekas Pengarang Urusan Bernama selamat dikebumi

Allahyarham Mohamad Nasir
Allahyarham Mohamad Nasir
A
A
A

KAJANG - Jenazah bekas Pengarang Urusan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Allahyarham Mohamad Nasir Yusoff selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, di sini, pada 11.30 pagi tadi.

Van membawa jenazah tiba di tanah perkuburan berkenaan pada kira-kira pukul 11 pagi diiringi sahabat dan ahli keluarga, selepas selesai disembahyangkan di Surau Desa Sri Jenaris, di sini dengan disertai lebih 80 jemaah.

Suasana pilu dan sedih menyelubungi majlis pengebumian dan sebaik selesai talkin dibacakan, rata-rata yang hadir kelihatan sebak ketika menyiramkan air di atas kubur Allahyarham.

Hadir sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain, Ketua Pengarang Bernama Khairdzir Md Yunus serta warga kerja Bernama.

Mohamad Nasir, 62, yang berkhidmat di Bernama selama 37 tahun, menghembuskan nafas terakhirnya pada 5.48 pagi semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas mengadu kepenatan sejurus mendarat dari Miri, Sarawak.

Anak sulung Allahyarham, Nur Nadzmi Nasirah Mohamad Nasir (tiga, kiri) bersama ahli keluarga yang lain menyirami pusara bapanya, Mohamad Nasir Yusoff selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, pada Isnin. - Foto Bernama
Anak sulung Allahyarham, Nur Nadzmi Nasirah Mohamad Nasir (tiga, kiri) bersama ahli keluarga yang lain menyirami pusara bapanya, Mohamad Nasir Yusoff selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, pada Isnin. - Foto Bernama

Beliau yang memulakan perkhidmatan di Bernama pada 1 Oktober 1983 dan bersara wajib pada 7 Mac 2020, meninggalkan isteri Halimah Piee, 59, dan empat anak, iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki.

Anak sulung Allahyarham Nur Nadzmi Nasirah mewakili ibunya mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat dan orang ramai yang membantu menguruskan pengebumian ayahnya.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga dan sahabat yang hadir pada pengebumian ayahanda kami hari ini.

"Diharap semua sentiasa mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya. - Bernama