SRC: Mahkamah tetap 10 hari, mulai 15 Ogos dengar rayuan akhir Najib

Najib
Najib
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Isnin menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Perkara itu dimaklumkan melalui surat bertarikh 29 April yang disediakan kepada media, dan ditandatangani oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Hafiizullaah Omar@ Md Salleh yang memaklumkan tarikh bagi mendengar rayuan bekas perdana menteri itu ialah pada 15 hingga 19 Ogos dan 22 hingga 26 Ogos.

Menurut surat itu, kedua-dua pihak (pembelaan dan pendakwaan) turut diarah mengemukakan hujahan bertulis sebelum 31 Julai.

Pada 25 April, Najib telah mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya mengenai mengapa beliau harus dibebaskan daripada tuduhan menyeleweng RM42 juta dalam dana SRC International Sdn Bhd.

Antara alasan yang dibangkitkan dalam petisyen itu ialah Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam fakta dan/atau undang-undang dalam mengesahkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap perayu (Najib) atas kesemua tujuh pertuduhan dan memanggilnya untuk membela diri.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Najib dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Mahkamah Persekutuan merupakan jalan terakhir bagi Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan dana SRC International itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: