UK perkenal pakej sekatan baharu ke atas Rusia, Belarus

United Kingdom (UK) memperkenalkan pakej sekatan baharu terhadap Rusia serta Belarus yang menyasarkan jumlah dagangan bernilai AS$2 bilion, lapor Sputnik. Gambar hiasan
United Kingdom (UK) memperkenalkan pakej sekatan baharu terhadap Rusia serta Belarus yang menyasarkan jumlah dagangan bernilai AS$2 bilion, lapor Sputnik. Gambar hiasan
A
A
A

LONDON - United Kingdom (UK) memperkenalkan pakej sekatan baharu terhadap Rusia serta Belarus yang menyasarkan jumlah dagangan bernilai AS$2 bilion, lapor Sputnik.

"UK hari ini mengumumkan pakej sekatan baharu ke atas Rusia dan Belarus, satu lagi langkah diambil untuk melemahkan operasi ketenteraan (Presiden Rusia Vladimir Putin),” memetik kenyataan kerajaan Britain pada Ahad.

Sekatan baharu itu menjadikan jumlah nilai produk import dan eksport yang dikenakan sekatan sepenuhnya atau sebahagian kepada lebih £4 bilion, sejak operasi ketenteraan khas Rusia di Ukraine bermula

"Tarif import baharu akan meliputi barangan bernilai £1.4 bilion - termasuk platinum dan paladium," menurut kenyataan itu.

Larangan eksport disasarkan mencecah lebih £250 juta nilai barangan dalam sektor ekonomi Rusia seperti bahan kimia, plastik, getah dan jentera yang merangkumi kira-kira 10 peratus daripada jumlah eksport UK ke Rusia pada 2021.

Menurut Kerajaan British, Rusia satu daripada negara pengeluar platinum dan paladium utama, import kedua-dua bahan itu ke United Kingdom adalah signifikan.

Sekatan baharu itu adalah gelombang ketiga sekatan dagangan yang dikenakan UK ke atas Rusia. - Bernama