Juara dunia idam pingat emas Hanoi 2021

Kean Yew
Kean Yew
A
A
A

LOH Kean Yew mungkin pernah mengecap kejayaan hebat apabila berjaya merangkul gelaran juara dunia tahun lepas, namun jaguh badminton perseorangan lelaki Singapura itu masih belum pernah memenangi pingat emas dalam Sukan SEA.

Pemenang pingat perak Sukan SEA 2019 itu kini berharap untuk meraih pingat emas pertama dalam temasya sukan dwitahunan di Hanoi, Vietnam, sebaik sahaja beliau melengkapkan cabaran pertandingan akhir Piala Thomas 2022 yang bermula hari ini, dan berakhir 15 Mei nanti.

"Itu sasaran saya (emas Sukan SEA), sama ada saya menang atau kalah, itu tidak pasti, tiada siapa yang tahu, saya hanya akan lakukan yang terbaik,” katanya kepada media selepas menyumbang mata pertama bagi Singapura dalam perlawanan Kumpulan A menentang Indonesia malam ini.

Bagaimanapun kemenangan Kean Yew 21-13, 21-14 menewaskan pemain terbaik Indonesia Anthony Sinisuka Ginting itu tidak cukup untuk membantu pasukannya membuat kejutan, apabila keputusan penuh menyaksikan juara bertahan Indonesia menewaskan pasukan Singapura dengan 1-4.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pemain Singapura pertama memenangi gelaran juara dunia.

Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei pernah sampai ke perlawanan akhir kejuaraan berprestij itu, namun hanya berjaya meraih gelaran naib juara pada edisi 2011, 2013 dan 2015.

Kean Yew dijadualkan kembali ke gelanggang di Impact Arena di sini sekali lagi apabila Singapura berhadapan dengan Korea Selatan dalam perlawanan kedua kumpulan Piala Thomas 2022 esok. - Bernama