Hilang pendapatan selepas hidap kanser

Yoon Pin (baju merah) berharap mendapat pekerjaan dari rumah agar mudah menguruskan suami serta dua anaknya yang masih bersekolah rendah.
Yoon Pin (baju merah) berharap mendapat pekerjaan dari rumah agar mudah menguruskan suami serta dua anaknya yang masih bersekolah rendah.
A
A
A

IPOH - Seorang wanita buntu apabila hilang punca pendapatan bagi menyara dua anak mereka yang masih bersekolah selepas suaminya disahkan menghidap kanser kelenjar air liur dua tahun lalu.

Liew Yoon Pin, 43, berkata, suaminya, Wong Poh Leong, 51, terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori apabila diserang 'right parotid mucoepidermoid carcinoma' itu sejak Ogos 2020.

"Keadaan itu menyebabkan wang simpanan mula menyusut apabila sentiasa berulang alik ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan dan menjalani pembedahan.

"Selama dua bulan di sana, lebih RM12,000 telah dibelanjakan dengan sebahagian dibantu oleh sanak saudara kerana kami sudah tidak bekerja tambahan mempunyai dua anak berusia tujuh dan 10 tahun," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Utama Bercham di sini pada Sabtu.

Yoon Pin yang juga bekas pekerja kilang terpaksa berhenti untuk menjaga suaminya yang sering keletihan selepas menjalani kimoterapi akibat kanser tahap empat itu.

"Setiap bulan kami memerlukan belanja antara RM1,500 hingga RM2,000 demi kelangsungan hidup antaranya rawatan, makanan tambahan, utiliti dan sebagainya.

"Suami kini perlu menjalani sesi kimoterapi apabila doktor bimbang sel-sel kanser merebak ke organ lain terutama paru-paru" katanya.

Menurutnya, dia berharap mendapat pekerjaan yang membenarkan bekerja dari rumah agar mudah menguruskan suami serta dua anaknya.

"Walaupun menerima RM500 secara bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), saya mahu mencari pekerjaan bagi menampung keluarga.

"Saya tidak boleh mengharapkan 100 peratus wang daripada saudara lain kerana mereka sendiri mempunyai keluarga untuk ditanggung," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh terua menghubungi Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan di talian 012-5321128.