Cadang KTMB teruskan tren khas Tumpat-KL-Tumpat

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (tiga dari kanan) melakukan persemboyanan Tren Khas Ekspres Keluarga Malaysia di Stesen Wakaf Bharu, Tumpat pada Sabtu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (tiga dari kanan) melakukan persemboyanan Tren Khas Ekspres Keluarga Malaysia di Stesen Wakaf Bharu, Tumpat pada Sabtu.
A
A
A

TUMPAT - Kerajaan Kelantan mencadangkan supaya perkhidmatan Tren Khas Ekspres Keluarga Malaysia dari Tumpat- Kuala Lumpur-Tumpat oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) diteruskan pada masa depan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, inisiatif mewujudkan perjalanan khas kereta api dari Tumpat ke Stesen KL Sentral dan kembali semula ke Tumpat semasa Aidilfitri dapat mengelakkan pengguna daripada berdepan kesesakan lalu lintas.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut wajar diteruskan pada musim perayaan lain, malah boleh diteruskan sepanjang masa.

“Orang Kelantan memang suka balik kampung, jadi untuk kepentingan, keselesaan dan keselamatan rakyat, kerajaan mencadangkan kepada KTMB supaya meneruskan perkhidmatan Tren Khas Ekspres Keluarga Malaysia iaitu bukan hanya pada musim perayaan.

“Cadangan boleh diteruskan mungkin bagi perjalanan seminggu sekali atau sebulan sekali bagi membantu anak-anak perantau mengelakkan daripada kesesakan lalu lintas menggunakan kenderaan sendiri di laluan biasa di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelepasan Tren Khas Ekspres Keluarga Malaysia di Stesen Wakaf Bharu di sini pada Sabtu.

Menurut Ahmad, cadangan itu dibuat susulan permintaan tinggi dan sambutan luar jangkaan daripada rakyat Kelantan terhadap perkhidmatan Tren Khas Ekspres Keluarga Malaysia yang berlepas dari Tumpat ke Stesen KL Sentral pada jam 11.07 malam tadi.

“Saya difahamkan sebanyak 803 tiket terjual dan melebihi 696 tempat duduk yang ditawarkan dengan ada penumpang yang turun naik di beberapa sektor di sepanjang laluan.

“Mereka memilih perjalanan menggunakan tren ini kerana tidak berdepan tekanan emosi memandu dalam kesesakan lalu lintas, mempunyai kemudahan yang selesa seperti tandas, cafe, ruang solat dan koc tempat tidur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, tren khas tersebut membawa seramai 815 penumpang pulang berhari raya dari Stesen KL Sentral ke Tumpat pada 29 April lalu.

“Tempahan tiket berharga RM55 hingga RM 83 yang dibuka pada 15 April lalu terjual 70 peratus dalam tempoh tiga jam kepada anak-anak perantau di Kuala Lumpur yang ingin pulang ke kampung di Kelantan.

“Pencapaian itu menjadi penanda aras kepada KTMB dalam kajian untuk meneruskan tren khas ini pada masa depan selepas perkhidmatan tersebut terhenti kerana kemusnahan infrastruktur akibat banjir pada tahun 2014,” katanya.