Aksi TFC II-Kelantan FC bukan kecil-kecil anak

Badrul Afzan optimis TFC ll mampu menjinakkan Kelantan FC dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok. - Foto Terengganu FC II
Badrul Afzan optimis TFC ll mampu menjinakkan Kelantan FC dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok. - Foto Terengganu FC II
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC ll (TFC ll), Badrul Afzan Razali optimis para pemainnya mampu menjinakkan Kelantan FC dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Malah beraksi di laman sendiri, jurulatih berusia 46 tahun itu mahu para pemainnya memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk memastikan kedudukan The Turtles dalam liga musim ini lebih baik berbanding tahun lalu.

"Saya akui cabaran malam esok bukan 'kecil-kecil anak' kerana Kelantan FC sekarang ini berada di takhta teratas liga.

"Bagaimanapun kelebihan beraksi di laman sendiri sepatutnya dimanfaatkan pemain untuk meneruskan momentum kemenangan yang kita capai ketika berdepan UiTM FC tempoh hari," katanya ketika ditemui di sesi latihan di Gong Badak di Kuala Nerus.

Skuad The Red Warriors yang dibimbing ketua jurulatih Rezal Zambery Yahya ketika ini menerajui tangga teratas Liga Premier dengan 15 mata selepas menang lima daripada enam perlawanan.

TFC ll pula setakat ini berjaya mengumpul 10 mata daripada lima perlawanan dan berada di tangga keempat liga di belakang Kelantan United yang berkelebihan tiga mata.

Mengulas ketiadaan dua pemain utamanya Nur Azfar Fikri Azhar dan Safwan Mazlan, Badrul menjelaskan perkara itu tidak akan menjejaskan prestasi pasukan kerana perancangan awal telah dilakukan.

Katanya, kekosongan dua ayam tambatan skuadnya akan diisi oleh tiga pemain Terengganu FC (TFC) yang ketika ini sedang berehat panjang daripada sebarang perlawanan.

"Alhamdulillah kita dah dapat kebenaran untuk gunakan khidmat Zuasyraf Zulkifli, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob dan Rahmat Makasuf malam esok.

"Dengan bantuan dua import juga, kita harap segala perancangan berjalan lancar malam esok," katanya yang terpaksa merehatkan tonggak import Luke Woodland akibat kecederaan. - Bernama