X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Usul pinda perlembagaan UMNO dibentang Sabtu depan

Ahmad Maslan. - Foto Bernama
A
A

PONTIAN - Usul pindaan perlembagaan UMNO akan dibentangkan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Perhimpunan Agung UMNO Khas, Sabtu depan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara perkara yang akan dipinda adalah seperti yang telah diluluskan dalam usul Perhimpunan Agung UMNO pada Mac lepas iaitu menangguhkan pemilihan parti enam bulan selepas pilihan raya umum diadakan.

Ahmad berkata, perhimpunan itu akan dihadiri 2,666 perwakilan yang turut akan mengundi pindaan perlembagaan itu.

"Saya sudah memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia tentang apa yang akan kami lakukan itu," kata Ahli Parlimen Pontian itu kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di Benut, di sini pada Sabtu.

Sekiranya pindaan tidak dilaksanakan, UMNO perlu mengadakan pemilihan parti pada hujung tahun ini. Pemilihan parti terakhir adalah pada 2018.

Dalam perkembangan lain ketika ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li berhubung tindakannya yang mengadakan pertemuan dengan pembangkang di Kelantan baru-baru ini, Ahmad berkata, perkara itu belum dibincangkan.

"Jadi, kita tunggulah Mesyuarat Majlis Tertinggi ataupun mesyuarat pengurusan untuk membincangkan apa yang sedang dibuat oleh Tengku Razaleigh," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas masih wujud, Ahmad menyifatkan MN masih belum mati namun tidak subur.

"Setakat ini, masih belum ada sebarang perbincangan, malah mesyuarat baru-baru ini tidak dibangkitkan mengenai perkara itu. Apabila sudah ada keputusan muktamad dibuat nanti, UMNO setiap negeri mestilah patuh terhadap ketetapan itu,” katanya.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, penyatuan ummah menerusi MN disifatkan sebagai formula terbaik. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!