Kedah libatkan swasta tangani NRW

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan menjalin kerjasama dengan pihak swasta untuk mengatasi masalah Air Tidak Terhasil (NRW) di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, buat masa ini pihaknya hanya menunggu kelulusan daripada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk melaksanakan model berkenaan.

Menurutnya, model seumpama ini merupakan yang pertama dalam negara dan telah dibentangkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Ini model yang akan kita mulakan di Kedah. Belum ada lagi di negeri lain. Kita akan libatkan pihak swasta untuk mengurangkan peratusan NRW. Proses perbincangan dengan SPAN sudah selesai dan kini hanya tunggu lampu hijau daripada menteri,” katanya selepas ditemui pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon di sini pada Sabtu.

Muhammad Sanusi berkata, usaha mengurangkan peratusan NRW perlu diberikan keutamaan memandangkan pada ketika ini NRW yang direkodkan adalah sebanyak 49 peratus.

“Sasaran kita untuk turunkan kadar sehingga 25 peratus dalam tempoh 15 tahun akan datang,” katanya lagi.

Menurutnya, penglibatan pihak swasta yang akan melabur dalam infrastruktur bekalan air dapat menjimatkan banyak kos yang sebelum ini ditanggung oleh kerajaan negeri dan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

“NRW dan penggantian sistem paip melibatkan kos RM970 juta, apabila melibatkan kos yang tinggi, kita pelawa syarikat-syarikat untuk melabur dan kita sudah lakukan beberapa proses yang perlu.

“Antara penjimatan yang akan kita nikmati ialah kos elektrik sebanyak 60 peratus yang perlu ditampung oleh kerajaan negeri.

“Kos air tidak tinggi seperti kos elektrik, setahun kita perlu bayar RM180 juta kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Pam kita pula sudah uzur dan ia perlukan lebih minyak dan elektrik yang tinggi untuk beroperasi, hendak tukar pam kosnya berjuta, satu pam cecah RM3.2 juta, jadi proses pertukaran dibuat perlahan-lahan,” katanya lagi.

Muhammad Sanusi berkata, semua proses sedang berjalan lancar dan sebaik sahaja mendapat kelulusan, penggantian paip-paip lama di tempat kritikal terutamanya di kawasan bandar akan dilakukan segera bagi mengelakkan masalah kebocoran air terus berlaku.

“Ada beberapa wilayah yang kritikal, khususnya dalam bandar. Itu yang paling banyak bocor. Berbeza dengan masalah air di Sik atau Baling yang berdepan dengan tekanan rendah menyebabkan air tak sampai ke lokasi.

“Negeri maju seperti Selangor pun ada masalah air, sabarlah. Saya bukan hendak ‘halalkan’ kelemahan itu, tetapi kita sedang usahakan dan saya beri jaminan dalam tempoh tiga tahun lagi masalah infrastruktur yang melibatkan air ini akan selesai,” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, rintihan rakyat Kedah mengenai bekalan air sentiasa diberikan perhatian namun pihaknya berharap rakyat negeri ini dapat bersabar kerana ia mengambil masa dan kos yang tinggi.

“Tahun 2019 SADA rugi RM36 juta, pada 2020 ada lebihan sejuta untuk kita labur semula dalam infrastruktur. Tahun 2021 untung RM27 juta. Saya labur balik dalam infrastruktur. Jadi kena ada untung baru boleh pulihkan isu air sebab kosnya tinggi,” katanya lagi.

Mengulas mengenai beberapa kawasan seperti Kuala Kedah, Tebengau, Jitra yang masih berdepan gangguan bekalan air sama ada pada musim perayaan atau di luar musim, katanya, pelan kontingensi telah dilaksanakan bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan kritikal, terutama di kawasan hujung saluran yang mengalami tekanan rendah.

“Kebanyakan krisis berlaku di hujung sistem, di mana sistem itu berakhir dan air tak sampai sebab tekanan terlalu rendah. Kita telah maklum berlaku peningkatan penggunaan air 30 peratus, kebiasaan 780 MLD (juta liter sehari) kadar penggunaan harian dan meningkat kepada lebih 1000 MLD pada musim perayaan.

“Infrastruktur air yang kita ada ketinggalan 15 tahun berbanding keperluan. Kita sedang usahakan, vaksin untuk menghadapinya ialah kesabaran. Orang ramai harus bersabar. Perancangan untuk membangunkan semula infrastruktur air dibuat sejak 2010 dan akan ambil masa untuk lima Loji Rawatan Air (LRA) bernilai RM931 juta disiapkan,” katanya lagi.