Pekerja ladang maut dilanggar MPV

Keadaan kenderaan berkenaan selepas kemalangan. - Foto PDRM
Keadaan kenderaan berkenaan selepas kemalangan. - Foto PDRM
A
A
A

PORT DICKSON- Seorang pekerja ladang maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 9.8 Jalan Sua Betong -Air Kuning di sini pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian pada jam kira-kira 6.45 pagi itu melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipandu wanita, 34 tahun, dua motosikal jenis Yamaha Y15 ZR ditunggang lelaki berusia 20 tahun dan Honda EX5 ditunggang mangsa iaitu lelaki berusia 33 tahun.

"Sebelum kejadian Perodua Alza dari arah Air Kuning Ke Sua Betong untuk ke tempat kerja di Hospital Port Dickson manakala dua motosikal berkenaan masing-masing dari Sua Betong ke Air Kuning.

"Setibanya di lokasi kejadian iaitu kawasan berselekoh Perodua Alza itu dipercayai telah hilang kawalan menyebabkannya berpusing dua kali dan masuk ke laluan motosikal tersebut sebelum berlaku perlanggaran," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, penunggang Yamaha Y15 ZR mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan kiri selain patah paha kiri bagaimanapun seorang lagi penunggang maut di lokasi kejadian.

"Individu yang terselamat dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.