Dua lelaki ditahan dipercayai baling molotov cocktail

No Image Caption
A
A
A

KULAI - Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian membaling ‘molotov cocktail’ sehingga menyebabkan kebakaran kecil di sebuah unit rumah di Jalan Pangsa 5, Kampung Baru Kulai di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, dua suspek masing-masing berusia 48 dan 28 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi pada Jumaat.

“Penahanan dibuat bagi membantu siasatan kes membaling botol berisi petrol di sebuah kediaman yang dilaporkan oleh seorang pengadu baru-baru ini.

“Semakan lampau turut mendapati kedua-dua suspek turut mempunyai rekod bersabit kes jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beng Yeow berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terbabit dengan kejadian ini.

“Kedua-dua suspek kini diarahkan menjalani perintah reman selama lima hari sehingga 10 Mei depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 434 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kes itu, Beng Yeow berkata, polis menerima laporan daripada seorang pengadu yang juga mangsa memaklumkan kediamannya telah mengalami kebakaran kecil akibat dibaling botol berisi petrol.

“Berdasarkan laporan, pengadu memaklumkan kejadian dipercayai berlaku apabila sekumpulan lelaki menaiki motosikal bertindak membaling botol berisi petrol yang menyebabkan berlakunya kebakaran di bahagian halaman rumah dan sebuah kereta jenis Proton Persona.

“Pengadu juga telah mendapatkan bantuan bomba untuk memadamkan kebakaran berkenaan. Siasatan kini sedang dibuat bagi mengenalpasti motif kejadian dan anggaran kerugian akibat kebakaran tersebut,” katanya.