3 anggota PAC pembangkang letak jawatan serta-merta

Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Dr Noraini Ahmad
Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Dr Noraini Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) daripada kalangan pembangkang meletakkan jawatan serta-merta hari ini berikutan isu kepimpinan PAC, kata ketua pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia melibatkan kesemua tiga wakil pembangkang dalam PAC iaitu Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) dan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu).

Ismail Sabri berkata pihaknya membuat keputusan itu sehingga keputusan dibuat kerajaan untuk mengekalkan jawatan pengerusi dalam kalangan wakil pembangkang.

"Barisan Nasional (BN) telah mengeluarkan surat bagi mencadangkan Noraini sebagai pengerusi PAC kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof pada 1 Mac,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Jawatan pengerusi PAC kini disandang oleh Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang sebelum ini mewakili BN tetapi baru-baru ini beliau menyertai Bersatu, sebuah komponen Pakatan Harapan (PH). Oleh itu kedudukan beliau sebagai pengerusi PAC dianggap tidak lagi sesuai.

Mengikut manifesto PH sebelum ini, jawatan pengerusi PAC dikhaskan kepada wakil rakyat pembangkang.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata Kiandee akan kekal memegang jawatan itu sehingga calon yang sesuai dikenal pasti.

Ismail Sabri mendakwa PH kini mempunyai kuasa sepenuhnya dalam PAC, walaupun tujuan lantikan pengerusi daripada pembangkang adalah bagi memastikan proses semak dan imbang dalam isu berbangkit lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas kenyataan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming bahawa pelantikan pengerusi PAC baharu dipertimbangkan selepas kes-kes kendalian Kiandee selesai, Ismail Sabri berkata ia tidak perlu.

“Tidak perlu, sebab Noraini ketika ini adalah anggota PAC. Dia tahu tentang semua kes yang sedang dibincangkan dalam PAC. BN cadang beliau sebagai calon sebab beliau anggota PAC yang sedia maklum tentang semua kes kendalian PAC,” kata Naib Presiden UMNO itu. - Bernama