Op Selamat 18: 16 kematian dalam kemalangan di Selangor

Foto hiasan. - Gambar kecil: Azman
Foto hiasan. - Gambar kecil: Azman
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 16 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di negeri Selangor sepanjang tujuh hari Op Selamat 18 bermula 29 April lalu yang dilaksanakan sempena Aidilfitri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 2,448 kemalangan telah dilaporkan yang mana 16 kes adalah kemalangan maut.

"Statistik yang direkodkan adalah bagi tempoh tujuh hari setakat semalam (5 Mei).

"Semalam (5 Mei) sebanyak 288 kes kemalangan dilaporkan dengan satu kematian," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambah Azman, JSPT Selangor mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati dan bertanggungjawab dengan mematuhi peraturan seperti elak menggunakan telefon bimbit semasa memandu, potong barisan dan langgar isyarat lampu merah bagi mengelakkan risiko kemalangan.

Katanya, Op Selamat selama l0 hari ini bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan ditetapkan selain memastikan aliran trafik berjalan lancar.

Pada Khamis, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, sepanjang enam hari Op Selamat 18 di seluruh negara itu, penunggang dan pembonceng motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 72 kematian, diikuti 30 pemandu dan penumpang kereta serta satu kematian membabitkan pemandu van.

Jalan bandaran mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 3,876 kes, diikuti jalan Persekutuan dengan 2,148 kes, jalan negeri (1,937 kes) dan lebuh raya (1,043 kes).

Sementara itu, sebanyak 26,837 saman bagi enam kesalahan utama dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya pada hari keenam Op Selamat ke 18.