Asal-usul Luak Jempol

Sejarah bermula sewaktu kedatangan Datuk Sepedang bersama 9 keluarga

A
A
A
Luak Jempol merupakan salah satu daripada Luak Tanah Mengandung meliputi Luak Ulu Muar, Terachi, Gunung Pasir dan Inas.

Ketua pemerintahnya dikenali sebagai Penghulu Luak Jempol bergelar Datuk Lela Putra Setiawan.

Datuk Adat Luak Jempol, Datuk Shahbandar Ali Naam berkata, berdasarkan buku tulisan tangan Ujang Dohat, sejarah Kampung Kuala Jempol bermula sewaktu kedatangan Datuk Sepedang bersama sembilan keluarga dari Padang Luas, Sumatera.

“Tiap-tiap satu keluarga menaiki tongkang atau perahu menyeberangi Selat Melaka dan menyusuri Semenanjung Tanah Melayu sehingga bertemu kuala sungai yang dinamakan sebagai Sungai Muar.

“Kemudian sembilan keluarga itu mudik ke hulu Sungai Muar sampai ke Lubuk Kepong,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, sampai di Lubuk Kepong mereka membuka negeri dan meninggalkan satu keluarga di situ.

“Datuk Sepedang mudik lagi ke hulu Sungai Muar hingga sampai ke Merbau Seratus atau Pasir Besar dan tinggalkan lagi satu keluarga di Pasir Besar.

“Kemudian beliau mudik lagi Sungai Muar dan bertemu Kuala Sungai Jelai dan berpecah di situ,” katanya.

Menurutnya, baki keluarga yang lain kemudiannya menuju ke Sungai Jelai hingga ke Inas.
Artikel Berkaitan:


“Datuk Sepedang dan pengikut-pengikutnya yang lain pula mudik lagi Sungai Muar dan bertemu Kuala Sungai Jempol.

“Sampai di sana, Datuk Sepedang mengarahkan pengikut-pengikutnya melihat keadaan tanah Sungai Muar dan Sungai Jempol,” katanya.

Menurutnya, Datuk Sepedang mendapati keadaan tempat kiri kanan Sungai Muar dan Sungai Jempol rata serta cantik kerana tiada bukit.

Jempol bermaksud cantik

Ali berkata, Datuk Sepedang menyatakan kepada pengikutnya tempat yang ditemui itu Jempol iaitu cantik, maka ia pun dinamakan sebagai Jempol.

Selepas itu, tambahnya, pengikut-pengikutnya pula mengatakan ada satu lagi tanah lampan dan di situ terdapat sebatang pokok jambu.

Oleh itu, beliau berkata, Datuk Sepedang menamakan tempat itu Jambu Lapan atas dasar keadaan tanah dan pokok jambu.

“Jadi, timbullah nama Penarikan sebab negeri itu sudah maju dan banyaklah saudagar-saudagar luar yang datang berniaga seperti China, Siam dan Arab.

“Untuk cepat sampai ke Pahang, saudagar ini tidak menggunakan Sungai Jempol, sebaliknya mereka merentasi ke Sungai Serting dalam anggaran 300 rantai,” katanya.

Menurutnya, di situlah tongkang dan perahu yang hendak pergi ke Pahang ditarik ke Sungai Serting dan seterusnya Tasik Bera, Pahang.

Beliau berkata, berkemungkinan juga sejarah Hang Tuah melarikan Tun Teja melalui Jalan Penarikan Sungai Serting ke Jempol.

“Saudagar Siam hendak pergi ke Pahang tetapi tidak mahu mengikut Jalan Penarikan lalu berusaha membuat satu parit ke Sungai Jempol terus melalui ke Sungai Serting.

“Luas parit ini dianggarkan lebih kurang 40 kaki dan panjangnya pula dianggarkan lebih kurang setengah batu,” katanya.

Beliau berkata, semasa pembinaan parit dilakukan, mereka telah terjumpa ular besar dan siput babi.

“Tanpa berfikir panjang mereka telah memakannya. Akibatnya, semua mati akibat keracunan.

“Parit yang mereka gali itu gagal dan lalulah ia dinamakan sebagai Parit Siam,” katanya.

Tambahnya, hari ini kawasan tempat saudagar Siam menggali parit itu telah menjadi Taman Tunku Puan Chik.