Orang ramai tidak tahu sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dibuka

Hanya kenderaan perdagangan yang kelihatan melalui pintu sempadan darat Malaysia-Thailand di Kompleks ICQS, Rantau Panjang pada Khamis.
Hanya kenderaan perdagangan yang kelihatan melalui pintu sempadan darat Malaysia-Thailand di Kompleks ICQS, Rantau Panjang pada Khamis.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pintu sempadan darat Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang di sini pada Khamis lengang gara-gara orang ramai tidak mengetahui perkhabaran itu.

Tinjauan Sinar Harian di ICQS Rantau Panjang mendapati lokasi itu lengang dan hanya terdapat beberapa orang sahaja yang hadir untuk membuat pas sempadan untuk ke negara jiran.

Pembukaan sempadan darat itu merupakan kali pertama melibatkan kawasan di negeri ini sejak Covid-19.

Saodah Yassin, 43, berkata, beliau mengetahui tentang berita berhubung pembukaan sempadan itu ketika sedang membeli makanan di kedai kopi di pekan Rantau Panjang.

"Saya sendiri terkejut apabila mendapat tahu pintu sempadan sudah dibuka hari ini (Khamis) kerana tiada sebarang pengumuman dibuat.

"Tanpa berlengah saya terus datang ke ICQS Rantau Panjang untuk membuat pas sempadan," katanya.

Menurutnya, selepas selesai beliau mahu ke Golok, Thailand untuk bertemu sanak-saudara bagi meraikan Aidilfitri.

Katanya, pembukaan itu memudahkan lagi urusannya untuk bertemu sanak-saudara selepas ini.

Sementara itu, Tan Eng Seng, 25, berkata, sebaik mengetahui perkara itu daripada kawan-kawan, beliau terus ke ICQS Rantau Panjang untuk membuat pas sempadan.

Anggota Pasukan Gerakan Am menyapa Eng Seng dan adik perempuannya yang merupakan antara rakyat Malaysia pertama merentas sempadan selepas pembukaan pintu sempadan darat Malaysia-Thailand di Kompleks ICQS, Rantau Panjang dibuka pada Khamis.

"Sebaik sahaja siap, saya terus ke Golok untuk membeli-belah. Inilah saat-saat yang dinantikan oleh saya sebagai penduduk di sempadan.

"Selepas ini, bolehlah saya ke Golok untuk membeli makanan yang sedap-sedap di sana," katanya.

Selain ICQS Rantau Panjang, pintu sempadan di Pengkalan Kubor (Tumpat) dan Bukit Bunga (Jeli) turut dibuka.