Kewartawanan dalam tawanan dunia digital

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengamal media diingatkan supaya menyesuaikan diri kepada perubahan yang dibawa oleh revolusi internet dalam era pendigitalan, kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Yong Soo Heong.

Bercakap sebagai ahli panel dalam Bernama TV: The Brief pada Khamis, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, beliau berkata, pendigitalan turut menyebabkan pengguna mengubah tabiat mereka dalam mendapatkan berita terkini, iaitu helaian surat khabar kini semakin menipis atau kurang dicetak.

"Selain itu, kita turut melihat kemunculan semakin banyak laman web berita sementara ramai individu kehilangan pekerjaan ekoran hasil pengiklanan yang menerima impak daripada kemunculan syarikat-syarikat digital besar.

"Oleh sebab itu, pengamal media perlu beradaptasi kepada perubahan-perubahan ini dan mencari jalan untuk menangani serangan digital tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Soo Heong yang juga bekas Ketua Pengarang Bernama berkata, ia akan mengambil masa untuk menentukan apakah perubahan sebenar yang dibawa oleh pengaruh pendigitalan dalam industri media.

Sementara itu, beliau menekankan, mereka yang terlibat dalam industri media berita tempatan perlu berhati-hati dalam laporan mereka dan berusaha untuk menyampaikan mesej daripada mana-mana pihak setepat mungkin, bagi memastikan kedudukan media tidak dipengaruhi secara negatif.

"Ia bukan sahaja tugas pemberita atau editor sesuatu organisasi berita; ia juga tentang bagaimana agensi kerajaan dan organisasi berkaitan lain memberi maklum balas kepada pelbagai krisis kerana maklum balas turut mempengaruhi ranking,” tambah Soo Heong.

Beliau juga mengingatkan pengamal media, supaya tidak bersikap bodoh sombong kerana wartawan bukanlah pakar dalam mana-mana bidang atau topik.

"Jika kita melakukan kesilapan, akuinya dan teruskan kehidupan. Sangat penting untuk sentiasa bersikap rendah diri dan bertanya soalan, jangan mengaku kita tahu semua benda kerana kita bukanlah pakar,” katanya.

Ditanya mengenai skop kebebasan bersuara biasanya diambil daripada perspektif media barat, Soo Heong berpendapat, kebebasan mutlak itu sebenarnya tidak wujud.

Beliau menjelaskan, bagi memperluaskan lagi kebebasan media, pengamal media mestilah seboleh mungkin jujur dalam melaporkan dan menulis berita.

"Kebebasan wujud apabila masyarakat menjadi lebih matang. Justeru, semua pihak berkepentingan mestilah bertanggungjawab,” katanya. - Bernama