Duit raya kegembiraan kanak-kanak

Tidak dapat dinafikan, rumah yang memberi duit raya dalam kuantiti di luar kebiasaan atau lebih daripada yang diberi jiran-jiran sekeliling, rumah itu akan menjadi tumpuan kanak-kanak. Gambar hiasan
Tidak dapat dinafikan, rumah yang memberi duit raya dalam kuantiti di luar kebiasaan atau lebih daripada yang diberi jiran-jiran sekeliling, rumah itu akan menjadi tumpuan kanak-kanak. Gambar hiasan
A
A
A

HARI ini merupakan hari keempat umat Islam di negara ini menyambut bulan Syawal, rasanya masih belum terlambat untuk penulis mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca Sinar Harian dan rakan-rakan yang mengenali penulis.

Sambutan raya kali ini juga pastinya lebih meriah selepas dua tahun tidak dapat meraikannya bersama ibu bapa tersayang, adik-beradik dan sanak saudara di kampung ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Sebut sahaja hari raya, antara yang paling gembira tentunya golongan kanak-kanak. Mana tidaknya, selain sudah tidak perlu lagi berpuasa selepas sebulan menahan lapar dan dahaga, kanak-kanak akan menerima 'bonus' berupa duit raya atas penat lelah mereka berpuasa selama sebulan.

Sudah menjadi lumrah anak zaman ini mendapat duit raya terkumpul mencecah ratusan ringgit, malah ada kalanya mencecah ribuan ringgit. Jumlah pemberian bukanlah ukuran kerana asas keutamaan adalah niat menggembirakan hati penerima termasuk kanak-kanak yang baru belajar berpuasa.

Menggembirakan hati seseorang Muslim amat dituntut oleh Islam dan menjanjikan ganjaran pahala yang bukan sedikit kepada mereka yang melakukannya. Duit raya juga boleh dianggap sebagai sedekah jika dilakukan dengan penuh tulus ikhlas dan diberi kepada golongan yang memerlukan. Sebaiknya utamakan duit raya kepada golongan fakir miskin dan golongan asnaf yang memerlukan dan yang pasti ibu bapa sendiri jangan dilupakan.

Walaupun begitu, adakalanya segelintir daripada kita memberi duit raya semata-mata meneruskan tradisi dan adat budaya Melayu. Malah ada juga yang risau memikirkan cakap-cakap orang lain jika tidak memberi duit raya.

Begitu juga ada yang bimbang akan dianggap kedekut jika tidak memberi duit raya malahan ada segelintir daripada kita yang berasa megah jika duit raya yang diberi lebih tinggi nilainya daripada adik-beradik atau jiran-jiran.

Pintu rezeki

Tidak dapat dinafikan, rumah yang memberi duit raya dalam kuantiti di luar kebiasaan atau lebih daripada yang diberi jiran-jiran sekeliling, rumah itu akan menjadi tumpuan kanak-kanak.

Kawan penulis pernah memberitahu rumahnya diserbu kanak-kanak disebabkan memberi duit raya RM5 kepada setiap kanak-kanak yang bertandang, namun dia yang ingin membuat sedikit uji kaji telah memberi RM1 setiap kanak-kanak selepas itu. Kesannya, kanak-kanak ini bertanya kenapa kawan mereka sebelum ini dapat RM5 sedangkan mereka hanya diberi RM1.

Disebabkan ini, pesan kepada anak-anak sebelum berkunjung ke sesebuah rumah mengenai adab menerima duit raya. Yang pertama, jangan meminta duit raya seandainya tuan rumah tidak memberinya.

Ajar anak-anak untuk mengucapkan terima kasih selepas menerima duit raya dan pesan kepada mereka jangan buka sampul duit raya di hadapan tuan rumah.

Namun begitu, tuan rumah usahlah khuatir jika tidak mampu memberi duit raya seperti yang diimpikan kanak-kanak, beri sekadar yang termampu. Apa yang penting keikhlasan pemberian dan Insya-ALLAH duit raya ini dapat menjadi pembuka pintu rezeki yang lebih daripada apa yang telah diberi.

Bagaimanapun dalam kegembiraan anak-anak mengira jumlah duit raya yang diterima, mungkin ada ibu bapa yang berada dalam kesempitan wang atas beberapa faktor misalnya baru kehilangan pekerjaan atau pengurangan punca pendapatan.

Umumnya mengambil duit anak-anak adalah satu perbuatan yang tidak wajar dan harus dielakkan terutamanya jika ibu bapa berkenaan tidak mempunyai masalah kesempitan wang selain masih mempunyai wang simpanan termasuk di bank.

Sementara itu, dalam usaha memberi pendidikan kewangan kepada anak sejak kecil lagi, ajar mereka membuat simpanan dengan duit raya yang mereka peroleh tidak kira jumlah duit raya yang diterima sedikit ataupun banyak.

Kalau boleh, bawa anak-anak ke bank bersama ketika melakukan simpanan dan tunjukkan baki simpanan di dalam akaun. Melihat baki yang boleh mencecah ribuan ringgit ini, tentunya anak-anak akan berasa seronok.

* Rosli Hassan ialah Editor Pengisian Sinar Harian