Isu guru COS, KPM sedang ambil tindakan sewajarnya

Dr Mohd Radzi
Dr Mohd Radzi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin telah mengarahkan supaya isu guru kontrak perkhidmatan (COS) ambilan Jun 2020 yang akan tamat kontrak mereka pada Jun depan diberi perhatian dan diselesaikan segera.

Radzi menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter pada Rabu berkata, perkara berkaitan kegusaran guru yang akan tamat kontrak COS itu dibangkitkan menerusi ruangan komen di laman media sosial beliau baru-baru ini dan ia sememangnya berada dalam perhatiannya.

"Saya telah arahkan supaya perkara ini diberi perhatian dan diselesaikan segera. KPM (Kementerian Pendidikan) dan SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat selepas proses berkenaan selesai.

Katanya, KPM prihatin mengenai perkara yang dibangkitkan masyarakat tentang pendidikan dan komited untuk melakukan yang terbaik demi kesejahteraan pendidikan generasi pewaris negara. - Bernama