Dua lemas, enam selamat pondok jeti runtuh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEMPORNA - Dua remaja lelaki maut dipercayai terjatuh ke laut bersama enam remaja lain selepas pondok jeti di Kampung Gading-Gading dekat sini runtuh, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa warga asing berusia 14 dan 19 tahun ditemukan dalam keadaan terapung pada 4.30 petang.

“Anggota bertugas di Balai Polis Semporna menerima panggilan daripada anggota Pasukan Gerakan Am pada 4.17 petang mengenai kejadian lapan remaja terjatuh laut selepas pondok jeti di Kampung Gading-Gading tiba-tiba runtuh.

“Dalam kejadian itu, empat remaja lelaki serta dua perempuan berusia 11 hingga 19 tahun, yang kesemuanya juga warga asing berjaya diselamatkan anggota bertugas serta penduduk kampung, namun dua lagi hilang sebelum akhirnya ditemukan terapung, lemas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Farhan berkata, sebelum kejadian, kesemua lapan mangsa berada di pondok jeti untuk melepak, dan kertas siasatan dibuka di bawah laporan mati mengejut.

Beliau berkata, punca kejadian jeti kampung berkenaan runtuh masih dalam siasatan pihak polis.

"Sebarang maklumat berkenaan kejadian itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Nikan Najin di talian 016-563237," katanya.

Mohd Farhan turut menasihatkan agar semua jawatankuasa kampung menjalankan pemeriksaan ke atas jeti di kampung masing-masing untuk memastikan keselamatan pengguna. - Bernama