Susahnya cari tudung raya buat isteri

Gambar hiasan -Foto Bernama
Gambar hiasan -Foto Bernama
A
A
A

MERAK Jalanan sebenarnya memang tidak suka ambil masa lama untuk membeli-belah terutama di saat akhir menyambut Aidilfitri.

Kalau boleh, dua minggu atau pertengahan Ramadan, Merak Jalanan akan pastikan semuanya sudah selesai untuk membeli kelengkapan berhari raya.

Bukan apa, Merak Jalanan tak sanggup berhimpit-himpit dan terperangkap dalam kesesakan di jalan raya semata-mata hendak mencari sepasang baju Melayu atau baju kurung. Belum kira faktor mencari parkir lagi.

Tambahan pula tahun ini penangan lebaran cukup berbeza. Cerita yang ingin dikongsi kali ini adalah tentang kawan Merak Jalanan.

Dia mengadu hari Sabtu adalah hari ketiga isterinya ajak keluar mencari satu-satunya ‘barang keperluan’ yang belum dibeli iaitu sehelai tudung.

Katanya, bukan sebab tidak mampu untuk membeli, bukan juga menunggu masuknya wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi warna tudung yang dicari tidak sedondon dengan baju kurung untuk hari raya pertama.

Ceritanya lagi, lima gedung menjual pakaian Muslimah, antaranya A, B dan C di Shah Alam, E di Setia Alam dan F di Bangi dikunjungi tetapi sehelai pun tidak berkenan di hati isteri.

Dan hari Sabtu, kedai A, lokasi pertama pengembaraan pencarian tudung menjadi pilihan isterinya. Itu pun katanya hampir dua jam menunggu demi memuaskan hati isteri. Bila sudah selesai barulah nampak senyuman puas di wajah isterinya.

Bukan main-main cabaran yang dihadapi kawan Merak Jalanan tahun ini tetapi demi isteri, lautan api sanggup direnangi.

Itulah sifat wanita. Sukakan kesempurnaan bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk anak dan suami.

Rupa-rupanya bukan soalan ‘nak makan apa’ paling susah untuk lelaki tetapi misi mencari sehelai tudung raya pun rasa separuh nak mati.