Rahadiazli enggan kecewa lagi

Rahadiazli - Foto: Terengganu Football Club
Rahadiazli - Foto: Terengganu Football Club
A
A
A

KUALA NERUS - Penjaga gol utama Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim berharap segera pulih daripada kecederaan pangkal paha yang dialaminya untuk menjalani latihan bersama skuad Bawah 23 Tahun Kebangsaan (B-23).

Latihan tersebut untuk pemilihan mewakili skuad negara ke Sukan SEA Hanoi pada 12 hingga 23 Mei ini di bawah bimbingan ketua jurulatih Brad Maloney.

Menurut Rahadiazli, beliau tidak mahu impiannya untuk menyarung jersi skuad kebangsaan kali ini musnah seperti mana yang berlaku tahun lepas apabila terpaksa dihantar pulang akibat masalah kecederaan.

"Sejujurnya musim 2022 ini saya amat mengimpikan untuk membantu negara dan kelab negeri memburu kejayaan.

"Sebelum ini saya pernah mendapat panggilan daripada skuad Harimau Malaya untuk latihan pemilihan, tetapi terpaksa dihantar pulang kerana kecederaan ACL," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Pemain berusia 21 tahun kelahiran Setiu, Terengganu itu cedera ketika beraksi menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Ahad lepas.

Menurut Rahadiazli, walaupun cedera, beliau tetap melapor diri di kem latihan skuad B-23 di ibu negara semalam dan diberi tempoh dua hari untuk berehat.

"Pegawai perubatan minta saya berehat dahulu untuk proses pemantauan dan penilaian tahap kecederaan. Saya harap tiada yang serius kerana besar harapan untuk beraksi di pentas pertandingan lebih tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Rahadiazli juga tidak menafikan bahawa persaingan untuk merebut tempat dalam senarai skuad B-23 ke Sukan SEA bukan mudah kerana lawannya bukan calang-calang.

Mengikut jadual, skuad negara yang diundi dalam Kumpulan B bakal berentap dengan Thailand dalam aksi pertama pada 7 Mei sebelum bertemu Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei)