Kerajaan sasar sejuta pekerja sendiri dapat perlindungan bawah Perkeso

Ismail Sabri ketika memberikan ucapan khas sempena Hari Pekerja 2022 yang disiarkan secara langsung di RTM pada Ahad.
Ismail Sabri ketika memberikan ucapan khas sempena Hari Pekerja 2022 yang disiarkan secara langsung di RTM pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menyasarkan untuk memastikan sekurang-kurangnya sejuta ahli Keluarga Malaysia yang bekerja sendiri mendapat perlindungan insurans di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah program tersebut, kerajaan akan menanggung 80 peratus jumlah perlu dicarum individu terbabit.

Beliau berkata, bersempena dengan sambutan Hari Pekerja 2022, kerajaan turut bersetuju mewajibkan penyediaan Taska Tempat Kerja di setiap sektor awam kerajaan persekutuan, negeri dan Badan Berkanun sebelum ia diperluaskan ke sektor swasta.

“Kerajaan menyediakan geran tahunan RM10 juta pada 2019 dan RM30 juta sejak 2020 bagi inisiatif ini yang akan memberi kelegaan kepada pekerja yang mempunyai anak kecil,” katanya menerusI ucapan khas sempena Hari Pekerja 2022 yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Ahad.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia, MyEzCover.com bermula pada 1 Mei 2022.

Katanya, program itu merupakan pakej pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan tanpa sebarang caj faedah, ditawarkan kepada penjawat awam sebelum diperluaskan kepada sektor swasta.

“Program ini akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Perkeso dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa),” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa pada Ahad juga merupakan hadiah kepada golongan pekerja atas dedikasinya dalam membangunkan ekonomi negara.

Dalam pada tu, beliau menerusi ucapannya itu turut melahirkan penghargaan terhadap semua pekerja, pemimpin dan ahli kesatuan sekerja yang ada di dalam negara.

Menurutnya, tema sambutan Hari Pekerja negara pada tahun ini iaitu 'Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia Dalam Pemulihan Negara' mencerminkan aspirasi kesepaduan, kesepakatan dan jalinan kerjasama Keluarga Malaysia dalam usaha memulihkan ekonomi negara ketika pasca Covid-19.

"Kerajaan yakin warga pekerja Keluarga Malaysia akan kekal berdaya tahan dan terus menjadi rakan strategik dalam membangunkan ekonomi negara," ujar beliau.