Bot pukat bilis terbakar, 24 kru diselamatkan

Bot bilis yang terbakar di perairan Pulau Buyong sekitar 7.30 malam Sabtu.
Bot bilis yang terbakar di perairan Pulau Buyong sekitar 7.30 malam Sabtu.
A
A
A

LANGKAWI - [DIKEMAS KINI] Seramai 24 kru bot nelayan pukat bilis termasuk tekong diselamatkan selepas bot mereka terbakar di perairan berhampiran Pulau Buyong di sini pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mereka diselamatkan oleh bot-bot bilis dan nelayan lain yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar 7.30 malam, namun tiada mangsa yang mengalami kecederaan serius.

"Beberapa bot nelayan berdekatan membantu memadamkan kebakaran bot pukat bilis yang terbakar itu seterusnya menyelamatkan kesemua kru," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beberapa bot nelayan membantu memadamkan kebakaran bot bilis KH 455.
Beberapa bot nelayan membantu memadamkan kebakaran bot bilis KH 455.

Shariman berkata, pihaknya menerima makluman tentang kejadian daripada Pegawai Pemerintah Markas Operasi (PPMO) Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi mengenai kebakaran bot bilis KH 455.

"Pasukan Polis Marin turut memaklumkan kepada Maritim Langkawi untuk bertindak.

"Kesemua mangsa dibawa balik ke Pangkalan Polis Marin Bukit Malut oleh bot Pasukan Polis Marin," katanya.