Kemelut baharu politik selepas Ketua Menteri Punjab angkat sumpah

Hamza, anak Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dilantik Ketua Menteri baharu wilayah Punjab. - Gambar Instagram
Hamza, anak Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dilantik Ketua Menteri baharu wilayah Punjab. - Gambar Instagram
A
A
A

NEW DELHI - Perbalahan politik baharu tercetus di Pakistan apabila anak Perdana Menteri Shehbaz Sharif, Hamza Shehbaz mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Wilayah Punjab pada Sabtu.

Hamza, 47, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Speaker Dewan Negara Raja Pervaiz Ashraf pada majlis yang diadakan di Rumah Gabenor di Lahore menurut perintah mahkamah.

Hamza, pemimpin parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) iaitu parti bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif, dipilih sebagai ketua menteri baharu oleh PML-N dan sekutunya dalam perhimpunan wilayah Punjab dua minggu lalu di tengah-tengah kekecohan.

Beliau menerima 197 undi dalam dewan yang mempunyai 371 ahli namun proses itu dicemari oleh keganasan dan campur tangan polis buat pertama kalinya, yang dianggap tidak sempurna oleh Gabenor Punjab, Omar Sarfraz Cheema.

Gabenor itu, yang merupakan ketua istiadat wilayah itu, enggan menerima Hamza sebagai Ketua Menteri Punjab.

Pada Sabtu, Omar memulihkan kerajaan Usman Buzdar, yang meletak jawatan untuk memberi laluan kepada sekutu politik menggantikannya sebagai ketua menteri wilayah yang mempunyai lebih separuh daripada 220 juta penduduk Pakistan.

Buzdar merupakan anggota parti bekas Perdana Menteri Imran Khan, Tehreek-e-Insaf Pakistan (PTI). Krisis politik Punjab adalah sebahagian daripada perebutan kuasa Pakistan yang lebih luas setelah kerajaan persekutuan Imran baru-baru ini digulingkan melalui undi tidak percaya yang dijalankan atas perintah mahkamah. - Bernama

Artikel Berkaitan: