Aliran trafik mulai lancar

Keadaan trafik selepas Plaza Tol Gombak didapati perlahan namun bergerak lancar. (Gambar kecil: Juliana)
Keadaan trafik selepas Plaza Tol Gombak didapati perlahan namun bergerak lancar. (Gambar kecil: Juliana)
A
A
A

SUBANG - Aliran trafik dari Lembah Klang menuju ke Pantai Timur dan Selatan mulai lancar berikutan sejumlah besar pergerakan kenderaan telah mula bergerak keluar sejak Jumaat.

Tinjauan Sinar Harian bersama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, aliran trafik di Plaza Tol Gombak sekitar jam 5 petang perlahan namun bergerak lancar dan terkawal jika dibandingkan dengan keadaan sesak sejak tengah malam tadi hingga jam 2 petang pada Jumaat.

Sementara itu, aliran trafik dari Plaza Tol Sungai Besi sehingga Plaza Tol Seremban bergerak lancar dan tiada kesesakan dikesan di sepanjang kedua-dua hala laluan tersebut.

Pegawai Turus Latihan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Juliana Jamak berkata, keadaan keseluruhan trafik di laluan-laluan tersebut dalam keadaan baik dan terkawal.

Dalam perkembangan lain, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi satu ciapan di Twitter melaporkan berlaku satu kemalangan di Kilometer (KM) 437 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dari Sungai Buaya ke Rawang pada jam 6 petang menyebabkan trafik perlahan.

Di lebuh raya sama arah selatan, aliran trafik dilaporkan perlahan dari Pedas Linggi menuju Simpang Ampat; Skudai - Senai Utara - Sedenak menuju ke Tambak Johor (sempadan Singapura-Malaysia).