'Rumah tak bergelap, anak tak lagi kongsi baju sekolah'

Mohd Hairi (kiri) ketika melawat dan mmenghulurkan sumbangan kepada Nur Rizan di rumahnya di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru pada Jumaat.
Mohd Hairi (kiri) ketika melawat dan mmenghulurkan sumbangan kepada Nur Rizan di rumahnya di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kisah kehidupan seorang ibu menderita sakit jantung yang membesarkan empat anak di Kampung Melayu Majidee di sini mendapat perhatian pelbagai pihak yang simpati dengan nasibnya.

Bagi Nur Rizan Aman, 46, pemberian dan sumbangan daripada individu, agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terimanya seakan satu rahmat menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, jika sebelum ini terpaksa bergelap dan menggunakan lilin atau menarik bekalan elektrik dari rumah jiran, kini tidak perlu lagi berbuat demikian kerana pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah memasang bekalan elektrik terus ke rumah.

"Malah lebih menggembirakan rumah papan kami yang sudah bocor dan dalam usang kini dalam proses baik pulih.

"Semalam (Jumaat), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah datang melawat kami sekeluarga bagi meninjau keadaan selain menyampaikan sumbangan.

"Kehadirannya turut membawa sekumpulan sukarelawan Southern Volunteers membantu membersihkan rumah kami, pertolongan mereka sangat bererti kerana saya tak mampu buat kerja berat," katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.

Pada 18 April lalu, Sinar Harian menyiarkan kisah Nur Rizan yang menderita sakit jantung terpaksa hidup dalam keadaan serba daif bersama-sama empat anaknya di rumah berkenaan.

Lebih memeritkan, lima beranak itu terpaksa tinggal di rumah kayu yang hampir bocor di semua bahagian atap selain tidak mempunyai bekalan elektrik selepas dipotong tiga tahun lalu.

Bercerita lanjut, dia berkata, sejak pihak media menyiarkan kisahnya, banyak pihak yang tampil menghulurkan bantuan atas dasar simpati.

Nur Rizan berkata, sejak daripada itu keluarganya menerima banyak bantuan barangan dapur, makanan kering, barangan elektrik, barangan keperluan serta makanan basah.

Katanya, anak-anak sangat bersyukur dengan pemberian ikhlas pihak terbabit yang meringankan kos perbelanjaan harian mereka.

"Ada juga pihak yang membelikan baju raya untuk anak-anak selain memberikan kuih muih untuk Aidilfitri kali ini.

"Saya amat bersyukur kerana merasakan kehidupan kami bertambah baik, hanya ALLAH SWT mampu membalasnya," katanya.

Dia berkata, anak bongsunya , Muhammad Syafiq Haziq Mohamad Zamri juga sudah kembali bersekolah dan tidak perlu lagi berkongsi uniform dengan abangnya.

"Ramai juga yang menghulurkan sumbangan terus ke akaun bank saya dan anak, Siti Aisyah sebelum ini.

"Duit itu saya tak sentuh kerana itu untuk kegunaan Siti Aisyah yang sedang melanjutkan pengajian sekarang ini," katanya.

Motosikal yang rosak sebelum ini katanya, sudah dibaiki dan boleh digunakan malah ramai juga yang membantu mencari pekerjaan untuknya.

Tambahnya, Siti Aisyah akan kembali ke kampus Central for Foundation Studies International Islamic University Malaysia (IIUM), Gambang, pada 12 Mei ini bagi menyambung pengajiannya.