Guru rugi RM276,000 terjerat scammer 'KKM'

Superintendan Aibee Abd Ghani
Superintendan Aibee Abd Ghani
A
A
A
SEREMBAN - Seorang guru wanita mengalami kerugian RM276,000 selepas terjerat dengan Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, kejadian bermula pada 6 April lepas apabila mangsa berusia 41 tahun menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa daripada KKM Putrajaya yang memberitahu mangsa membeli ubat setiap bulan dengan cara berlebihan kuantiti.

"Dia didakwa membuat pembelian itu sejak 1 hingga 28 Mac lepas di Klinik Komuniti Ipoh, Perak sebelum disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak dan laporan polis telah dibuat untuk dihantar ke KKM.

"Bagaimanapun semakan ke atas kad pengenalan mangsa mendapati dia mempunyai hubungan dengan lelaki bernama Tan Boon Huat berkaitan kes penipuan bank dan lelaki itu telah dipenjarakan namun terdapat 400 kad debit ATM di rumahnya, salah satunya merupakan milik mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Aibee berkata, mangsa juga didakwa telah mengambil wang sebanyak RM273,000 daripada lelaki berkenaan dan diminta merahsiakan perkara tersebut bagi mengelakkan mangsa ditangkap dan dimasukkan dalam lokap.

"Panggilan berkenaan seterusnya disambungkan kepada seorang Inspektor bagi merujuk kes itu di Mahkamah untuk mendapatkan arahan akaun bank milik mangsa ditutup, sebelum mengarahkan mangsa memasukkan duit di beberapa akaun bank untuk disemak oleh Juruaudit Negara.

"Bermula 11 April hingga Jumaat mangsa telah membuat transaksi bayaran ke beberapa akaun yang masukkan secara tunai dan dalam talian berjumlah RM276,000," katanya.

Katanya, setelah selesai mangsa cuba menghubungi pihak berkenaan bagi bertanyakan kes tersebut namun tidak berjawab.

"Berasa dirinya ditipu mangsa membuat laporan polis pada Jumaat dan percaya kejadian itu merupakan sindiket penipuan.

"Berdasarkan siasatan awal mangsa telah membuat pinjaman bank, meminjam wang daripada rakannya serta mengeluarkan wang simpanan untuk membuat transaksi berkenaan sehingga mengalami kerugian RM276,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.