Sejarah hitam jika gagal capai sasaran 36 emas Sukan SEA Hanoi

Ahmad Faizal dan barisan atlet dan pegawai negara melaungkan slogan 'Demi Malaysia' pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di MSN, Bukit Jalil pada Rabu. - Foto Bernama
Ahmad Faizal dan barisan atlet dan pegawai negara melaungkan slogan 'Demi Malaysia' pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di MSN, Bukit Jalil pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

RASMI sudah sasaran 36 pingat emas yang diletakkan buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021 yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini.

Selain 36 emas, kontinjen Malaysia turut diharap membawa pulang 35 perak dan 75 gangsa.

Bak kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Rabu lalu, ia sasaran yang realistik.

Atas kertas, sudah tentu ia dianggap satu sasaran munasabah bersandarkan kepada beberapa faktor.

Antaranya kehilangan beberapa ‘lubuk' pingat apabila acara seperti pelayaran dan skuasy tidak dipertandingkan pada edisi ke-31 kali ini.

Sebanyak 22 jenis sukan lain seperti ekuestrian, hoki, ragbi dan luncur air yang kebiasaannya menjadi antara penyumbang pingat buat kontinjen Malaysia dalam beberapa temasya Sukan SEA lalu juga tidak dipertandingkan di Hanoi.

Informasi mengenai kekuatan mahupun kelemahan kontinjen lain turut menjadi faktor sasaran pingat pada Sukan SEA Hanoi 2021 tidak boleh diletakkan sewenang-wenangnya rentetan kekurangan kejohanan antarabangsa sejak penularan Covid-19 pada tahun 2020.

Penampilan sulung seramai 338 atlet negara daripada pelbagai jenis sukan di pentas Sukan SEA kali ini juga menjadi penyebab kebanyakan persatuan sukan kebangsaan ‘tidak berani' meletakkan sasaran di luar kemampuan mereka.

Persoalannya kini, mampukah kontinjen Malaysia yang dibarisi seramai 584 atlet merealisasikan sasaran membawa pulang 36 pingat emas? Tolak dulu sasaran 35 perak dan 75 gangsa, tetapi tumpuan sudah tentu terarah kepada 36 emas.

Sudah tentu kontinjen Malaysia yang diketuai Chef-de-mission (CDM), Datuk Nur Azmi Ahmad akan mengalami sejarah hitam jika gagal menjelmakan 36 kilauan emas sekalipun ia boleh dianggap satu sasaran yang cukup selamat.

Malah, insiden kegagalan kontinjen Malaysia gagal mencapai sasaran 70 pingat emas pada Sukan SEA Manila 2019 pastinya masih membekas sehingga hari ini.

Apa tidaknya, 70 emas yang disasarkan tetapi hanya 55 emas dibawa pulang.

Harus diingat jika kontinjen Malaysia gagal menepati sasaran mencapai 36 pingat emas, ia akan menjadi pencapaian terburuk sejak temasya Sukan SEA 1995 di Chiangmai, Thailand yang menyaksikan hanya 31 emas dibawa pulang.

Atas fakta itu, tiada alasan buat kontinjen Malaysia untuk tidak sekurang-kurangnya mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Ini kerana sasaran 31 emas itu boleh dianggap kecil berbanding jumlah atlet negara yang akan bertanding di Hanoi.

Dengan penyertaan seramai 584 atlet (218 kategori A dan 366 kategori B - 359 lelaki dan 225 wanita) di bumi Hanoi, hanya insiden luar biasa atau luar dugaaan yang akan menafikan hajat kontinjen Malaysia mencapai sasaran 36 emas.

Jika edisi 2019 di Manila, Filipina dianggap kegagalan yang dilabel paling buruk dalam sejarah penyertaan temasya dwitahunan itu, Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand boleh dianggap pencapaian terbaik kontinjen Malaysia di luar Kuala Lumpur.

Dengan kutipan 68 pingat emas selain 52 perak dan 96 gangsa, kontinjen Malaysia boleh mendabik dada apabila berjaya mengakhiri temasya Sukan SEA 2017 di tangga kedua keseluruhan di belakang tuan rumah, Thailand (183 emas, 123 perak dan 103 gangsa).

Kini segala-galanya terpulang kepada kontinjen Malaysia dalam merealisasikan sasaran 36 emas. Mereka tampak tidak menghadapi masalah mencapai sasaran itu tetapi jangan tersilap langkah sehingga akhirnya mengundang satu lagi sejarah hitam.