Dua bot bersama 18 nelayan Vietnam ditahan curi hasil laut

Sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan Maritim Terengganu dalam operasi dijalankan pada Rabu lalu.
Sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan Maritim Terengganu dalam operasi dijalankan pada Rabu lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Dua bot nelayan asing bersama 18 kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu kerana menceroboh dan mencuri hasil laut negara.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, dua bot nelayan asing itu ditahan pada kedudukan 97 dan 98 batu nautika dari Kuala Terengganu pada Rabu.

Menurutnya, bot berkenaan ditahan ketika kapal Maritim Malaysia melakukan rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Naga Barat di lokasi berkenaan.

"Bot pertama ditahan sekitar jam 2.30 petang pada 27 April lalu kira-kira 97 batu nautika barat laut Kuala Terengganu. Bot bersama tiga kru termasuk tekong itu dipercayai bot nelayan asing Vietnam yang menggunakan nombor pendaftaran asing.

"Bot kedua pula ditahan bersama 15 kru termasuk tekong kira-kira 98 batu nautika dari barat laut Kuala Terengganu sekitar jam 3.20 petang hari yang sama," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Muhammad Suffi berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot itu dikendalikan 18 kru termasuk tekong, warga Vietnam berusia antara 19 hingga 56 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, tekong kedua-dua bot juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dan disyaki telah melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara.

"Dua bot (bersama kru), alatan menangkap ikan dan kira-kira 2,200 liter bekalan diesel dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3 juta ditahan dan dibawa masuk ke fasa Jeti Pusat Tahanan Vesel, Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut.

"Proses mengiringi masuk ke jeti Maritim Terengganu mengambil masa lebih 26 jam dan kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.