Lagi kes scammer guna gambar YDP minta wang

Gambar Rahilah digunakan sebagai gambar profil di aplikasi WhatsApp tanpa kebenaran sejak Khamis.
Gambar Rahilah digunakan sebagai gambar profil di aplikasi WhatsApp tanpa kebenaran sejak Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Satu sindiket dipercayai penipuan pinjaman wang dikesan menyalahgunakan gambar Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat.

MPKS menerusi Facebooknya pada Jumaat memaklumkan, pihak tidak bertanggungjawab terbabit telah menggunakan gambar Rahilah sebagai gambar profil di aplikasi WhatsApp tanpa kebenaran sejak Khamis.

"Perbuatan tersebut disedari pada 28 April apabila individu terbabit telah menghantar satu mesej kepada beberapa orang penerima dan penerima tersebut telah menghubungi MPKS untuk mengesahkan nombor tersebut digunakan Yang Dipertua MPKS atau sebaliknya.

"Sehubungan itu, satu laporan telah dilakukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor pada hari sama mengenai penyamaran dan manipulasi imej Yang Dipertua MPKS untuk tujuan penipuan," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, MPKS memohon kerjasama agensi berkaitan agar tindakan segera dapat dilakukan supaya aktiviti penyamaran ini dapat dibanteras dan dikhuatiri terdapat aktiviti penipuan kewangan yang boleh menjejaskan imej dan reputasi MPKS.

"MPKS juga ingin memaklumkan kepada masyarakat agar berhati-hati dengan nombor tersebut dan sebarang komunikasi daripada individu tidak dikenali yang melakukan penyamaran menggunakan imej pengurusan tertinggi MPKS bagi mengelakkan sebarang kerugian.

"Pihak MPKS juga tidak teragak-agak untuk membawa kes ini ke mahkamah," kata kenyataan itu lagi.

Pada Khamis, sindiket penipuan pinjaman wang turut menggunakan gambar YDP Majlis Perbandaran Klang (MPK), Noraini Roslan untuk tujuan meminjam wang.

Noraini menyedarinya apabila menerima beberapa panggilan daripada kenalan termasuk ahli majlis MPK bagi mengesahkan sama ada beliau ingin meminjam wang atau sebaliknya.