Agrobank sumbang juadah berbuka kepada Sinar Harian

Tengku Ahmad Badli Shah (kiri) menyerahkan pek makanan sebagai simbolik kepada Hussamuddin (kanan) pada Khamis.
Tengku Ahmad Badli Shah (kiri) menyerahkan pek makanan sebagai simbolik kepada Hussamuddin (kanan) pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Agrobank menyerahkan 300 sumbangan juadah berbuka puasa untuk diagihkan kepada Sinar Harian dan orang ramai sempena program Iftar Ala Madinah @Karangkraf pada Khamis.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sumbangan tersebut adalah usaha bagi menyantuni rakan-rakan media dan mengukuhkan silaturahim antara Agrobank dan Sinar Harian.

“Sumbangan hari ini merupakan antara inisiatif kami untuk berkongsi rezeki di bulan yang mulia ini khususnya kepada rakan-rakan wartawan yang sentiasa bertungkus-lumus dalam menjalankan tugasan membuat liputan.

Tengku Ahmad Badli Shah (tengah), Hussamuddin (tiga dari kiri), Muhammad Nasir (tiga dari kanan) bersama staf Agrobank di Ibu Pejabat Sinar Harian pada Khamis.
Tengku Ahmad Badli Shah (tengah), Hussamuddin (tiga dari kiri), Muhammad Nasir (tiga dari kanan) bersama staf Agrobank di Ibu Pejabat Sinar Harian pada Khamis.

“Ini adalah tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kami kepada rakan-rakan media di Sinar Harian yang sentiasa menyokong inisiatif kami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berbuka puasa bersama dalam program Iftar Ala Madinah @Karangkraf pada Khamis.

Sumbangan berkenaan disampaikan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah di Ibu Pejabat Sinar Harian di sini.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, selain daripada kakitangan Kumpulan Karangkraf, orang ramai yang datang ke Kompleks Karangkraf untuk berbuka puasa juga mendapat manfaat daripada sumbangan berkenaan.

“Apatah lagi apabila Sinar Harian memanjangkan lagi sumbangan kami pada hari ini kepada komuniti setempat di sekitar Shah Alam untuk kita sama-sama berbuka puasa pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berbesar hati sekiranya inisiatif melibatkan kerjasama bersama Sinar Harian dapat diadakan lagi pada masa yang akan datang.

“Harapan kami agar jalinan kerjasama di antara Agrobank dan Sinar Harian dapat diteruskan agar inisiatif seumpama ini dapat dikembangkan lagi dan membuka peluang kolaborasi yang lebih bermakna pada masa hadapan,” ujarnya.