Hari penentuan Perak FC

Muhammad Yunus Zakariah
Muhammad Yunus Zakariah
A
A
A

KEMELUT melibatkan isu tunggakan gaji Perak FC dijangka berakhir pada Jumaat apabila Impact Media and Communications (IMC) Sdn Bhd selaku pemilik The Bos Gaurus (TBG) ketika ini bakal memeterai perjanjian persefahaman (MOU) bersama pemilik baharu.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah yang mengesahkan urusan rundingan dengan pemilik baharu berkenaan telah pun selesai baru-baru ini apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

“Rundingan dengan pemilik baharu ini telah selesai dan kita bakal menandatangani perjanjian dengan mereka esok (Jumaat).

“Bagaimanapun, tidak ada sidang media akan dibuat kerana setelah segala urusan selesai, satu kenyataan media bersama akan dikeluarkan.

“Sebagai makluman juga, satu sidang media khas berhubung perkara ini dijangka diadakan di Ipoh selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Untuk rekod, kemelut tunggakan gaji Perak FC yang berlarutan sejak musim lalu itu menyaksikan ramai pemain skuad berkenaan mengambil keputusan meninggalkan pasukan tersebut musim ini.

Senario itu menyaksikan skuad Kejor Yob Skor itu terpaksa bergantung hanya 16 pemain termasuk tiga penjaga gol untuk beraksi setelah gagal mendaftarkan para pemain baharu bagi mengharungi saingan Liga Premier musim ini.

Lebih memburukkan lagi keadaan, akibat tunggakan gaji berkenaan, skuad Seladang itu turut dikenakan tindakan pemotongan tiga mata pada 1 April dan seterusnya enam mata pada 14 April yang melibatkan pemotongan sembilan mata secara keseluruhannya.

Kegagalan Perak FC menyelesaikan tunggakan gaji itu juga bakal menyaksikan perkara tersebut dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan berdepan tindakan penyingkiran.

Bagaimanapun, pada 21 April lalu, badan bebas First Instance Body (FIB) meluluskan permohonan Perak FC untuk melanjutkan masa bagi memberikan ruang kepada pengurusan kelab Liga Premier itu menyelesaikan rundingan pertukaran pemilikan.

Kebenaran berkenaan diberikan selepas meneliti dan memperhalusi permohonan Perak FC pada 18 April yang sekali gus memberikan ruang untuk pengurusan kelab Liga Premier itu menyelesaikan segala proses rundingan bersama pemilik baharu sehingga 29 April ini.

Mengulas lanjut Muhammad Zakariah mengesahkan pemilik baharu itu turut mengadakan pertemuan dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), baru-baru ini berhubung urusan pemilikan Perak FC.

Menurutnya, pihak pemilik baharu juga telah mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan termasuk bukti dana (proof of funds) yang diperlukan MFL sebelum ini.

Dalam pada itu, Muhammad Yunus juga berharap usaha pemilikan baharu Perak FC berjalan lancar dan pada masa sama segala urusan pembayaran tunggakan gaji pemain serta pegawai pasukan dapat diselesaikan segera.