'Op Selamat bukan fokus tahan individu banyak saman'

Simbolik penyerahan terima tugas daripada Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (dua dari kiri) kepada Datuk Muhamad Zaki Harun (kanan) yang memangku Ketua Polis Kelantan di IPK Kelantan, Kota Bharu pada Khamis.
Simbolik penyerahan terima tugas daripada Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (dua dari kiri) kepada Datuk Muhamad Zaki Harun (kanan) yang memangku Ketua Polis Kelantan di IPK Kelantan, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan pihaknya tidak memberi tumpuan untuk menahan pesalah trafik yang mempunyai banyak saman atau waran tangkap sepanjang Op Selamat.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim sebaliknya berkata, sepanjang tempoh 10 hari itu, pihaknya memberi tumpuan terhadap kelancaran lalu lintas dan membantu memudahkan perjalanan pengguna untuk pulang ke kampung halaman.

Katanya, di samping keanggotaan yang bertugas bagi membantu kelancaran trafik tersebut, PDRM mempunyai peralatan termasuk Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) untuk membantu dalam penugasan mereka.

“ICOPS adalah satu teknologi perhubungan dengan balai polis dari segi pangkalan data iaitu dapat mengesan pesalah, pengguna yang membawa kenderaan dengan kelajuan tinggi dan rekod jenayah lampau.

“Cuma ingin saya jelaskan bukan menjadi fokus JSPT untuk menangkap pesalah dan menahan kenderaan mereka yang mempunyai banyak saman semasa Op Selamat tetapi lebih kepada memastikan kelancaran trafik semasa Aidilfitri,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan penyerahan terima tugas daripada Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat kepada Datuk Muhamad Zaki Harun yang memangku Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.

Mengulas lanjut, PDRM lebih mengambil pendekatan budi bicara kepada pengguna yang menggunakan jalan raya di seluruh negara semasa 10 hari tempoh Op Selamat bermula dari 29 April hingga 8 Mei depan.

“Terdapat lima iCOPS yang ditempatkan di lima lokasi di seluruh negara membabitkan zon antaranya pantai timur, utara dan selatan.

“Masyarakat dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan di jalan raya semasa pulang berhari raya,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, semasa tempoh Op Selamat, individu yang memiliki waran tangkap akan dibawa ke balai polis berhampiran, manakala yang memiliki saman tertunggak pula diminta menjelaskan saman mereka.