85 peratus premis tidak patuh akta kualiti alam sekeliling

Mohd Akmal (tengah) memaklumkan 22 premis mempunyai tahap pematuhan rendah terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974
Mohd Akmal (tengah) memaklumkan 22 premis mempunyai tahap pematuhan rendah terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974
A
A
A

IPOH - Sebanyak 22 premis perindustrian dikesan mempunyai kadar pematuhan rendah terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menerusi Op Gempur Pra Raya sempena Hari Bumi Sedunia sekitar kawasan perusahaan Puncak Jelapang, Kawasan Perindustrian Ringan Jelapang dan Meru di sini.

Operasi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak itu dilaksanakan selama tiga hari sejak Selasa lalu susulan aduan diterima berhubung pencemaran bau daripada penduduk setempat.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, kesemua premis terbabit boleh dikenakan 62 kompaun mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Daripada 26 premis yang diperiksa, hanya empat yang mematuhi peraturan. Sebanyak 27 arahan di lapangan dikeluarkan selain 19 notis arahan.

"Dua kertas siasatan dibuka terhadap dua syarikat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014," katanya pada sidang media di Pejabat JAS Perak pada Khamis.

Hadir sama Pengarah JAS Perak, Rosli Zul dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian.

Menurutnya, kedudukan kawasan industri yang bersebelahan dengan kawasan kediaman berpotensi menimbulkan aduan awam yang tinggi.

"Objektif op ini memastikan semua jenis industri mematuhi akta yang ditetapkan selain mencegah berlakunya kejadian pencemaran yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

"Fokus utama diberikan kepada premis-premis yang menghasilkan punca-punca pencemaran iaitu udara, efluen dan buangan terjadual selain mengemaskini rekod inventori premis," katanya.

Mohd Akmal berkata, Op Gempur akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam memastikan pihak industri menjalankan operasi mengikut kehendak perunndangan.

"JAS serius dalam mengambil tindakan terhadap penjenayah-penjenayah alam sekitar.

"Orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian 1-800-88-2727 atau portal e-aduan JAS," katanya.