Lima rumah terbakar setiap hari di Selangor sepanjang Ramadan

Norazam ketika sidang akhbar Kempen Keselamatan Musim Perayaan di Central I-City Shopping Mall pada Khamis.
Norazam ketika sidang akhbar Kempen Keselamatan Musim Perayaan di Central I-City Shopping Mall pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Purata lima buah rumah terbakar setiap hari di Selangor sepanjang bulan Ramadan setakat ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, antara punca kebakaran adalah lupa memadam api selepas memasak dan tidak menutup suis elektrik selepas digunakan.

Bagaimanapun menurutnya, kes kebakaran tersebut tidak melibatkan kematian.

"Itu antara punca-punca berlakunya kebakaran, jadi saya ingin menasihatkan kepada masyarakat sebelum mereka pulang ke kampung, pastikan semua punca elektrik dimatikan.

"Kadangkala kita lupa ada peralatan elektrik yang sentiasa dipasang," katanya ketika sidang akhbar Kempen Keselamatan Musim Perayaan di Central I-City Shopping Mall di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Norazam turut mengingatkan orang ramai mengenai penggunaan lampu hiasan di rumah yang tidak mendapatkan sijil kelulusan daripada SIRIM.

"Kepada mereka yang menggunakan lampu hiasan, kita tidak pasti jika barangan tersebut mempunyai kelulusan daripada SIRIM, jadi kita minta mereka berhati-hati.

"Lampu tersebut memang cantik, tapi risikonya agak tinggi yang menjadi salah satu punca kebakaran," katanya.

Pada Khamis, Norazam hadir ke Kempen Keselamatan Musim Perayaan di Central I-City Shopping Mall, di sini untuk membuat pemeriksaan keselamatan bangunan tumpuan orang ramai.

Pemeriksaan tersebut melibatkan alat memadam kebakaran untuk memastikan semua premis perniagaan berada dalam keadaan selamat.