Budak dua tahun maut, lapan cedera rumah terbakar

Mangsa kebakaran yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Mangsa kebakaran yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terkorban dalam kebakaran melibatkan dua rumah berkembar separuh kekal di Jalan Permatang Badak Perdana 2 di sini pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Aisliki Mohd Saupi.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, bapa mangsa, Mohd Saupi Mat Daud, 37, dan ibu, Nurolzila Mohd Nor, 31, parah.

"Turut cedera, ibu saudara mangsa, Siti Shaida Mat Daud, 32, dan rakan bapanya, Mohd Azwan Kali, 32, yang kebetulan berada di rumah tersebut ketika kejadian.

"Sementara itu, empat penghuni sebuah lagi rumah terlibat, Mohd Helmie Mohd Fauzi, 31, isterinya, Irfah Aqilah Hasnol, 30, bersama dua anak mereka, Muhammad Ikhmal Haziq, 5, dan Nur Irdina Umairah, lapan bulan cedera ringan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Wan Mohd Zahari berkata, mangsa yang parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, manakala semua mangsa yang lain turut menerima rawatan di hospital sama.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kebakaran berlaku melibatkan tiga rumah, namun hanya dua rumah yang musnah terbakar.

"Siasatan pihak bomba pula mendapati punca kebakaran dipercayai bermula dari salah sebuah rumah sebelum merebak ke rumah bersebelahan," katanya.

Beliau berkata, saksi mendakwa kebakaran bermula di bahagian ruang tamu salah sebuah rumah disusuli bunyi letupan.

"Punca sebenar kejadian dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan pihak bomba," katanya.