ABIM kekalkan konsep usrah, partisipasi

Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam program Bersama Johan Jaaffar di Kompleks Karangkraf pada Rabu. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam program Bersama Johan Jaaffar di Kompleks Karangkraf pada Rabu. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) masih mengekalkan konsep pembelajaran dan pengajaran syiar Islam secara perjumpaan bersemuka atau usrah.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, sesi usrah merupakan orientasi ABIM sejak penubuhannya dalam membawa perubahan sosial dan cara fikir.

"Sesi usrah adalah sistem inovasi pembelajaran agama. Kalau dahulu sebelum wujudnya sesi usrah, menelaah agama itu atas dasar satu hala, pak kiai dengan anak murid, namun ABIM membawa agenda usrah menerusi pembelajaran agama dibimbing secara berpartisipasi.

"Kita wujudkan suasana dialog bagi melontarkan perbezaan pandangan dan atas kerancakan itu, usrah ABIM berjaya melahirkan banyak gagasan-gagasan besar," katanya dalam program Bersama Johan Jaaffar di Kompleks Karangkraf pada Rabu.

Mengulas lanjut Muhammad Faisal berkata, konsep usrah masih kekal relevan jika dibandingkan dengan cara sedia ada dan boleh dilihat menerusi perubahan infrastruktur yang dibangunkan ABIM selama ini.

"Perubahan sekolah, Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (Taski) dan hospital ABIM lahir dari sesi usrah. Jadi usrah itu masih relevan dan kekal kerana ia bukan konsep gerakan, tetapi sesi dialog untuk membimbing orang memahami Islam dan menghormati pandangan semua pihak menerusi partisipasi.

"Sebab itu partisipasi ABIM merubah dasar-dasar utama negara khususnya dalam konteks pendidikan, masih berlanjutan (sehingga kini) kerana kita mempunyai 'engagement' kuat dengan pembuat dasar dalam bidang pendidikan," katanya.

Dalam pada itu Muhammad Faisal turut mengakui pengenalan pemakaian tudung dalam kalangan wanita Melayu beragama Islam merupakan antara sumbangan terbesar perjuangan ABIM dalam menghidupkan syiar Islam.

Katanya, ketika permulaan dakwah ABIM mengenai pemakaian tudung kepada golongan itu yang bermula pada tahun 1970 menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan.

"Bukan mudah memakai tudung di kampus, dihalau daripada duduk di dalam asrama dan sebagainya.

"Bagi kita ini adalah cabaran yang berjaya ditempoh oleh hal ehwal wanita ABIM, tetapi ia bukanlah satu-satunya kejayaan namun ia menifestatsi ABIM kepada kesedaran Islam yang dibawa," ujarnya.