Tiga melecur, empat rumah terbakar

Keadaan rumah mangsa yang musnah dalam kejadian kebakaran di Taman Meru 2B, Jelapang. Foto: Ihsan JBPM Perak
Keadaan rumah mangsa yang musnah dalam kejadian kebakaran di Taman Meru 2B, Jelapang. Foto: Ihsan JBPM Perak
A
A
A

IPOH - Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak dikejarkan ke hospital selepas terbabit dalam kebakaran deretan empat rumah di Hala Taman Meru 10, Taman Meru 2B, Jelapang di sini pada Selasa.

Dalam kejadian itu, suami isteri berusia 32 dan 26 tahun serta anak perempuan mereka berusia lima tahun mengalami melecur di bahagian badan manakala anak lelaki berusia tiga tahun terhidu asap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Shahrudi Muhamad Halil berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.04 malam.

"Setibanya di lokasi, pasukan dimaklumkan terdapat seorang lelaki masih terperangkap dan empat anggota telah membuat penyelamatan di rumah berkenaan.

"Mangsa ditemui di bahagian dapur berhampiran bilik air. Anggota kemudiannya berjaya membawa keluar mangsa sebelum diberi rawatan awal," katanya di sini pada Rabu.

Menurutnya, isteri mangsa dan anak bongsu berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu manakala anak perempuan mereka diselamatkan oleh orang awam.

"Lelaki terbabit mengalami melecur tahap 3, isterinya melecur di bahagian muka dan tangan serta anak perempuan melecur di kaki tahap 1.

"Keempat-empat mangsa diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)," katanya.

Shahrudi berkata, kekuatan 26 anggota dengan bantuan dari BBP Ipoh dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Chemor meneruskan operasi memadam kebakaran.

"Pemadaman dilakukan pada dua rumah yang mengalami kemusnahan sebanyak 80 dan 60 peratus serta membuat 'fire break' di rumah bersebelahan yang musnah 5 peratus.

"Sembilan penghuni di tiga rumah terlibat terselamat dalam kejadian itu. Operasi diteruskan hingga tamat pada jam 2.20 pagi," katanya.