Imigresen nafi depot tahanan sesak

Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen (Imigresen) menafikan laporan sebuah akhbar bahawa beberapa depot imigresen di beberapa negeri sesak dan kekurangan kakitangan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, jumlah kapasiti tahanan di semua 21 depot Imigresen seluruh negara termasuk tiga depot Imigresen sementara adalah 21,50 orang.

"Sehingga 24 April lalu, tahanan itu terdiri daripada 12,895 tahanan lelaki, 3,211 tahanan perempuan, 851 tahanan kanak-kanak lelaki dan 677 tahanan kanak-kanak perempuan.

"Kesemua tahanan kanak-kanak ditempatkan bersama penjaga mereka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Khairul Dzaimee berkata, laporan akhbar itu menyebut Depot Imigresen Lenggeng sesak dan kurang kakitangan berdasarkan kenyataan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

"Jumlah kapasiti tahanan di Depot Imigresen Lenggeng Negeri Sembilan adalah seramai 1,000 orang iaitu 800 untuk tahanan lelaki dan 200 untuk tahanan perempuan," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, dari segi perjawatan, pihaknya telah mengkaji keperluan perjawatan bagi semua depot pada tahun 2019 dengan mengambil kira keperluan sebenar pegawai.

"Keperluan perjawatan itu telah dipersetujui oleh agensi pusat termasuk tambahan jawatan di empat pusat tahanan sementara (PTS) di Sabah selepas pengambilalihan daripada Majlis Keselamatan Negara.

"Kita sedang membuat pengisian kekosongan jawatan termasuk di depot tahanan secara berterusan" ujarnya.