Sila log masuk terlebih dahulu.

Sindiket penipuan jual pakaian raya dikesan

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kegiatan sindiket penipuan menjual pakaian dan kelengkapan hari raya di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan statistik sejak 1 Januari hingga 26 April ini, sebanyak 22 kes direkodkan dengan kerugian berjumlah RM19,773.

"Sindiket mulai aktif selepas wujudnya permintaan tinggi untuk mendapatkan pakaian dan kelengkapan hari raya.

"Siasatan mendapati sindiket ini akan menggunakan platform media sosial bagi mengiklankan barangan mereka. Namun setelah pembayaran dibuat, barangan yang dibeli tidak diterima," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, JSJK mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati semasa melakukan pembelian dalam talian.

Katanya, sebagai langkah pencegahan, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengelak daripada membuat pembelian melalui platform atau penjual yang meragukan.

"Layari portal 'semak mule' yang boleh diakses melalui https://semakmule.rmp.gov.my/ untuk membuat semakan berkaitan nombor akaun bank, nombor telefon yang mungkin digunakan untuk aktiviti jenayah," katanya.

Justeru, sebarang nasihat atau maklumat lanjut boleh hubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599.

Artikel Berkaitan: