Penjawat awam, kenalan beri penghormatan terakhir kepada Ali Hamsa

Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam (dua, kiri) hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada Khamis. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam (dua, kiri) hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suasana sayu menyelubungi Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, apabila lebih 500 ahli keluarga, penjawat awam, anggota pentadbiran dan kenalan hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) ke-13 itu adalah Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan bekas menteri-menteri kabinet.

Orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ali Hamsa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada Khamis. - Foto Bernama
Orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ali Hamsa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada Khamis. - Foto Bernama

Hadir sama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek dan bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Khairy ketika ditemui pemberita berkata, beliau banyak belajar mengenai pentadbiran negara daripada Allahyarham yang disifatkannya sebagai antara KSN terbaik yang ada di negara ini.

"Saya secara peribadi rapat dengan Allahyarham dan saya dilantik sebagai menteri ketika berusia 33 tahun dan saya tiada apa-apa pengalaman dalam pentadbiran kerajaan ketika itu.

"Banyak perkara saya belajar daripada Allahyarham, Tan Sri seorang pemurah dan banyak beri nasihat serta bimbingan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata, antara nasihat Allahyarham yang paling diingatinya ialah sebagai pemimpin perlu menunjukkan kepimpinan untuk menguruskan organisasi dengan sumber manusia sedia ada.

Jenazah Allahyarham Ali Hamsa dibawa keluar dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20. - Foto Bernama
Jenazah Allahyarham Ali Hamsa dibawa keluar dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20. - Foto Bernama

Omar pula berkata, Allahyarham sangat mementingkan kebajikan penjawat awam dan pemergiannya amat dirasai.

"Apa sahaja rundingan dengan Cuepacs, Allahyarham akan cuba hadir dan tidak pernah tolak...moga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Ali, 66, yang berkhidmat sebagai KSN selama enam tahun dari 2012, meninggal dunia di Hospital Dublin, Ireland pada 21 April lepas.

Penerbangan yang membawa jenazah Ali tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira 6.30 pagi dan jenazah dibawa ke rumahnya di Presint 10, Putrajaya kira-kira pukul 8.26 pagi.

Antara yang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di kediamannya ialah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, KSN Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini untuk penghormatan terakhir bermula pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari.

Selepas penghormatan terakhir itu, jenazah Allahyarham disembahyangkan selepas solat zohor di Dewan Solat Utama masjid itu oleh Imam Besar Nor Azamir Alias disertai lebih 500 jemaah, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini untuk dikebumikan. - Bernama