Air berbau busuk, ikan ditemui mati

Beberapa ekor ikan ditemui mati di sungai Ulu Benut.
A
A

SIMPANG RENGGAM - Penduduk di sekitar Kampung Ulu Benut, di sini, mendakwa sungai di kawasan itu tercemar apabila berubah warnya menjadi hitam dan berbau busuk..

Ahli Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) Zon Tiga, Mohamad Zaki Abdul Kadir berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk bimbang lebih-lebih lagi apabila ikan di dalamnya ditemui mati.

“Walaupun kes pencemaran sungai di kawasan ini bukan perkara baharu, tetapi mungkin tidak seteruk kali ini kerana selain air sungai bertukar warna kehitaman dan berbau busuk, ikan di dalam sungai ini pun mati.

“Kejadian ini mula disedari penduduk hari ini (semalam) dan keadaan bertambah busuk serta teruk apabila angin bertiup dan kemungkinan besar disebabkan pencemaran ammonia dari pusat pelupusan sampah di CEP Renggam,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, beliau juga meminta pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera kerana ia boleh menjejaskan bekalan air kepada pengguna.

Menurutnya, lebih merisaukan ada pemancing yang mendapatkan ikan di sungai itu sebagai sumber makanan, sekali gus mengancam kesihatan atau membahayakan orang ramai jika ikan tersebut dijual.