Sila log masuk terlebih dahulu.

Aktiviti penyeludupan lubuk duit penduduk di sempadan

Sungai Golok yang menjadi pemisah antara sempadan Malaysia-Thailand di negeri Kelantan yang bermula dari Jeli sehingga Pengkalan Kubor, Tumpat merupakan lokasi 'panas' aktiviti penyeludupan.
Sungai Golok yang menjadi pemisah antara sempadan Malaysia-Thailand di negeri Kelantan yang bermula dari Jeli sehingga Pengkalan Kubor, Tumpat merupakan lokasi 'panas' aktiviti penyeludupan.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Sungai Golok yang menjadi pemisah antara sempadan Malaysia-Thailand di negeri Kelantan yang bermula dari Jeli sehingga Pengkalan Kubor, Tumpat merupakan lokasi 'panas' berkait dengan aktiviti penyeludupan.

Ini bukan perkara baharu, malah aktiviti itu sudah menjadi darah daging dalam kalangan penduduk sejak puluhan tahun lagi.

Sehingga kini aktiviti itu masih bertahan, malah ada dalam kalangan penduduk yang tinggal di tebing Sungai Golok menjadikan aktiviti penyeludupan sebagai lubuk rezeki bagi menyara keluarga selain meneruskan kelangsungan hidup.

Hanya memunggah barangan seludup dari pangkalan haram ke destinasi yang telah ditetapkan oleh tauke, individu terlibat akan menerima upah tunai sebaik sahaja kerja tersebut berjaya disempurnakan.

Kadar upah yang bermula puluhan ringgit hingga ribuan ringgit untuk setiap kali penghantaran barangan seludup membuatkan ada dalam kalangan penduduk di sempadan sanggup mengambil risiko dengan menjadikan aktiviti itu sebagai mata pencarian utama bagi menyara diri atau keluarga.

Pihak berkuasa bersama barangan seludup yang berjaya dirampas di pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang.
Pihak berkuasa bersama barangan seludup yang berjaya dirampas di pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang.

Difahamkan ada dalam kalangan penyeludup mampu meraih upah antara RM2,000 hingga RM3,000 hasil aktiviti berkenaan.

Masuk sahaja bulan Ramadan, individu terlibat mampu meraih pendapatan sehingga RM5,000 dengan hanya membawa barangan seludup.

Artikel Berkaitan:

Faktor bentuk muka bumi kawasan Sungai Golok yang beralun serta luas dianggarkan sejauh 20 meter tanpa sebarang binaan tembok kekal menjadikan sempadan Malaysia-Thailand dilihat sentiasa terbuka untuk aktiviti berkenaan.

Kawasan sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat merupakan lokasi yang sering menjadi tumpuan aktiviti penyeludupan.

Antara barangan yang sering diseludup ialah beras, pakaian, daging sejuk beku, kosmetik dan banyak lagi.

Selain itu dadah dan pendatang asing tanpa izin (PATI) turut menjadi pilihan sesetengah penyeludup.

Mengikut maklumat daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melaksanakan pengawasan menerusi Op Wawasan Kelantan, terdapat kira-kira 128 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pos Ibrahim Pencen di Rantau Panjang sehingga Pos Tanjong, Pengkalan Kubor, Tumpat.

Azhari (kiri) menunjukkan kejayaan yang telah dicapai oleh PGA menerusi beberapa tangkapan yang dilakukan.
Azhari (kiri) menunjukkan kejayaan yang telah dicapai oleh PGA menerusi beberapa tangkapan yang dilakukan.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi mendedahkan kebiasaan kadar upah bergantung kepada muatan yang dibawa oleh penyeludup.

Menurutnya, maklumat itu hasil soal siasat dilakukan pihaknya ke atas suspek yang berjaya diberkas menerusi penugasan Op Wawasan.

Anggota PGA melaksanakan pengawasan menerusi Op Wawasan Kelantan di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pos Ibrahim Pencen di Rantau Panjang sehingga Pos Tanjong, Pengkalan Kubor, Tumpat.
Anggota PGA melaksanakan pengawasan menerusi Op Wawasan Kelantan di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pos Ibrahim Pencen di Rantau Panjang sehingga Pos Tanjong, Pengkalan Kubor, Tumpat.

"Sebagai contoh pendatang asing tanpa izin (PATI). Jika kawasan itu dekat, penyeludup akan menerima upah RM200 untuk setiap seorang PATI yang dibawa.

"Jika jarak lebih jauh mungkin bayaran lebih lumayan, sebagai contoh jika ke Kuala Lumpur boleh mencecah RM800 setiap orang," katanya.

Tambahnya, aspek kemahiran berkait dengan satu-satu lokasi dan kawasan serta pengalaman turut menjadi penanda aras dalam menentukan kadar upah.

Beliau berkata, selain PATI ada juga penyeludup sanggup mengambil risiko dengan membawa dadah demi mendapatkan upah lebih lumayan.

Katanya, kebanyakan mereka yang terlibat dengan aktiviti jenayah rentas sempadan ini berpunca daripada sikap sendiri yang mahu mendapat keuntungan lumayan.

"Bagi mengelakkan dicekup anggota penguat kuasa, kumpulan penyeludup turut bertindak bijak dengan sentiasa menukar strategi.

"Antaranya memunggah dalam kuantiti yang kecil, menggunakan kenderaan mewah, persendirian dan menjalankan kegiatan itu pada awal pagi, lewat petang serta tengah malam," katanya.